Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pengamal media Sarawak digesa pertahankan kepentingan negeri melalui pelaporan adil
  • TEMPATAN

Pengamal media Sarawak digesa pertahankan kepentingan negeri melalui pelaporan adil

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (tengah, duduk), beramah mesra dengan pengamal media sambil menyerahkan angpao Tahun Baharu Cina bersempena Majlis Makan Malam bersama Media di sebuah hotel terkemuka, Kuching, semalam. Foto Shahrul Qaizat 

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menggesa pengamal media tempatan agar terus memainkan peranan penting dalam membina dan mempertahankan naratif Sarawak, bukannya membiarkan pihak luar menentukan imej negeri ini.

Beliau berkata, pengamal media perlu menonjolkan usaha dan pengorbanan rakyat Sarawak demi kesejahteraan masyarakat, termasuk pihak yang berkhidmat tanpa henti seperti doktor yang bertugas ketika cuti perayaan.

“Kita ada doktor yang masih bertugas ketika sambutan Hari Raya dan Tahun Baharu Cina, menyelamatkan nyawa pesakit walaupun ketika orang lain bercuti. Pernahkah kita menulis kisah mereka?” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam bersama Media, di sebuah hotel terkemuka, di sini, semalam. 

RAKAM kenangan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bersama tetamu jemputan dan pengamal media yang lain bersempena Majlis Makan Malam bersama Media di sebuah hotel terkemuka, Kuching, semalam. Foto Masrin Affirah 

Menurut Dr Sim, pelaporan yang adil dan positif bukan sahaja membina imej Sarawak, tetapi turut menambah keyakinan masyarakat tempatan dan pandangan negeri lain terhadap Sarawak. 

Beliau menegaskan bahawa Sarawak kini dihormati bukan semata-mata kerana kekayaan tetapi kerana kesatuan dan usaha rakyatnya.

Beliau juga menggesa pengamal media untuk terus membentuk naratif sendiri, menonjolkan kebaikan negeri dan memastikan laporan mencerminkan realiti serta aspirasi rakyat Sarawak.

“Jangan biarkan pihak luar menilai kita semata-mata berdasarkan kekayaan negeri. Sarawak dihormati kerana usaha rakyat dan kesatuan kita,” jelasnya.

Dr Sim menekankan bahawa identiti sebagai anak Sarawak kekal relevan walau di mana seseorang berada, dan pengamal media memainkan peranan penting dalam mengekalkan kebanggaan serta reputasi negeri.

Dr Sim kemudiannya menyantuni para wartawan dengan berjalan dari meja ke meja, bergambar bersama dan menyampaikan angpau sempena Tahun Baharu Cina sebagai tanda penghargaan kepada media. 

Oleh Adele Rissa 

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: 308 kes direkod sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina
Next: ​Semangat perpaduan terserlah dalam program gotong-royong Tanah Perkuburan Islam Kabong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.