KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa kepada beberapa pelaksanaan utama, antaranya ialah penubuhan APEC Covid-19 LIVE, platform perkongsian maklumat digital dalam kalangan 21 ekonomi anggota, kata Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) Hairil Yahri Yaacob.
Gesaan itu untuk memberi keutamaan kepada tugas-tugas di peringkat ini berikutan Pegawai-Pegawai Kanan telah diarahkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT), katanya dalam ucapan pada mesyuarat SOM Maya Kedua.
“Oleh itu, saya perlu menekankan amat penting untuk kita mencapai persetujuan secara kolektif mengenai cadangan ini, dan memastikan platform digital itu menjadi kenyataan sebelum Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM),” katanya.
Platform APEC Covid-19 LIVE bertujuan meraih campur tangan dasar, langkah-langkah, program dan inisiatif yang diguna pakai oleh ekonomi APEC untuk menangani krisis kesihatan.
Selain Covid-19 LIVE, terdapat juga pelaksanaan utama dan dokumen hasil lain yang telah dimasukkan dalam agenda, termasuk penubuhan Subdana untuk Kerjasama APEC bagi Memerangi Covid-19 dan Pemulihan Ekonomi, katanya.
Agenda lain ialah Program Kerja Pelan Tindakan Ekonomi Digital dan Internet APEC (AIDER), penilaian akhir mengenai Matlamat Bogor, Kajian Separuh Penggal Pelan Tindakan Kesalinghubungan APEC, dan penilaian akhir Strategi APEC untuk Mengukuhkan Pertumbuhan Berkualiti.
“Kita perlu melaksanakannya dengan cepat untuk menyelesaikan tugas-tugas yang belum selesai berhubung dokumen ini bagi membolehkan kita mencerminkan pencapaian penting yang berkaitan dalam Deklarasi Pemimpin,” kata Hairil.
Dengan masa yang singkat sebelum AELM, beliau menggesa Pegawai Kanan ekonomi anggota masing-masing untuk menerapkan semangat kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan tersebut. – Bernama