
SIBU: Orang ramai dinasihatkan agar tidak menghampiri blok bangunan unit kedai di No. 7A4, Jalan Pahlawan, di sini yang runtuh awal pagi tadi kerana struktur berkenaan masih tidak stabil dan boleh mengundang risiko keselamatan.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting Ing Hort berkata, kejadian berlaku sekitar 2.30 pagi dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengawal kawasan sejurus selepas menerima maklumat.
“Keadaan struktur bangunan masih belum stabil dan terdapat pergerakan kecil serta serpihan yang terus jatuh. Keseluruhan blok bangunan tersebut didapati telah mendap kira-kira satu meter, sehingga menimbulkan kemungkinan berlaku keruntuhan struktur di bahagian bawah bangunan.
“Kita sedang merujuk kepada agensi teknikal berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk penilaian lanjut. Buat masa ini kawasan ini tidak selamat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian sebentar tadi.

Menurutnya, setakat ini tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa diterima, sekali gus memberikan kelegaan memandangkan insiden berkenaan berpotensi mengundang risiko besar.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, sebuah restoran yang beroperasi di premis terbabit termasuk ruang terbuka dan dapur telah diarahkan tutup dan notis penutupan akan dikeluarkan,” ujarnya.
Mengulas tentang blok bangunan dan rumah berhampiran, Ting memberitahu, penilaian lanjut masih diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Pemilik rumah kedai terlibat diminta tampil melaporkan diri kepada pihak MPS bagi memudahkan urusan selanjutnya, manakala hal berkaitan penyewa akan diuruskan oleh pemilik premis masing-masing.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta langkah pemulihan yang perlu diambil demi menjamin keselamatan orang awam,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Ting turut memberitahu, satu mesyuarat tergempar bersama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee akan diadakan pada 2.30 petang ini di pejabat MPS.
“Mesyuarat tersebut bagi menghimpunkan semua agensi berkaitan untuk membincangkan tindakan susulan, termasuk siasatan menyeluruh terhadap tahap keselamatan keseluruhan blok yang dipercayai tidak lagi selamat diduduki,” kata beliau.
Turut berada di tempat kejadian ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia serta yang lain.
Oleh Akun Giman