
SARATOK: Lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di tepi Jalan Saratok, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dibuat kira-kira 10.00 pagi hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh pasukan berkenaan.
Menurut beliau, operasi tersebut diketuai oleh Inspektor Henry Muji bersama sepasukan anggota Pasukan Tindakan Khas IPD Saratok yang menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak polis telah menemui dan merampas bahan disyaki dadah jenis syabu daripada suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, suspek telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan lanjut termasuk menjalani ujian saringan air kencing.
Keputusan ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau, masing-masing di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan pada tahun 2024 (telah dihukum), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada tahun 2024 (telah dihukum) serta Seksyen 4A(a) Akta Racun 1953 pada tahun sama (didenda).
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.
DSP Mathew menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Daerah Saratok.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha membendung jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman