
LUNDU: Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kematian seorang lelaki berusia 18 tahun yang dipercayai menjadi mangsa bunuh di sebuah rumah sewa di sini.
Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram berkata pihaknya menerima maklumat kira kira 7.12 pagi tadi daripada seorang pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak mengenai seorang lelaki yang dihantar ke Unit Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia. Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak pada bahagian mata dan pipi kiri serta terdapat kesan darah kering di bahagian hidung,” katanya.
Siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa rakan sekerja telah menghadiri satu perjumpaan sosial dan dipercayai mengambil minuman keras.
Pertengkaran berlaku antara mangsa dan suspek, yang juga rakan sekerja serta serumah di rumah sewa mereka, sebelum ia bertukar menjadi pergaduhan fizikal.
“Mangsa dilaporkan pengsan selepas kejadian tersebut dan telah dibawa ke Hospital Umum Sarawak oleh suspek untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Polis telah menahan tiga lelaki yang merupakan rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan.
Kenderaan pacuan empat roda serta beberapa unit telefon bimbit turut dirampas untuk tujuan siasatan lanjut.
Seorang lagi suspek yang dipercayai melarikan diri selepas menghantar mangsa ke hospital kini sedang dikesan dan usaha memburunya sedang giat dijalankan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Oleh Connie Chieng