Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • MPP tegaskan tindakan sama rata, bahan politik ditanggalkan di Pasar Batu 7
  • TEMPATAN

MPP tegaskan tindakan sama rata, bahan politik ditanggalkan di Pasar Batu 7

Utusan Sarawak 5 hours ago
PERIKSA… Pengerusi MPP, Kaunselor Tan kai memeriksa pasaran bersama kakitangannya, Fam Shi Seng.

KUCHING: Pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP) tampil menjelaskan isu berhubung paparan bahan perayaan di Pasar Batu 7 susulan kenyataan yang dibuat oleh Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, iaitu Michael Kong.

Pengerusi MPP, Kaunselor Tan Kai berkata beliau dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, bahawa bahan Tahun Baharu Cina tersebut telah diagihkan kepada para penjaja pada pagi tadi, dan mereka memasangnya di gerai masing-masing atas inisiatif sendiri.

“Sebagai tanda keadilan dan untuk mengekalkan sikap berkecuali, saya telah mengarahkan pegawai MPP supaya menanggalkan semua pelekat pintu, kalendar atau bahan berkaitan politik yang dipaparkan di premis MPP, termasuk yang berkaitan dengan parti kerajaan mahupun pembangkang. Arahan ini terpakai secara sama rata tanpa pengecualian,” katanya.

Menurut beliau, iklan berkaitan kegiatan pinjaman wang haram juga didapati dipaparkan di pasar dan tempat awam dari semasa ke semasa. Walaupun tindakan penguatkuasaan dan penanggalan telah dibuat berulang kali oleh pihak MPP, notis sedemikian masih muncul semula.

“Kami menggesa para penjaja dan orang awam supaya memberi kerjasama dengan tidak memaparkan bahan tanpa kebenaran serta memaklumkan kepada MPP mengenai aktiviti sedemikian agar tindakan segera dapat diambil,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata MPP turut melaksanakan hiasan perayaan sendiri di pasar milik MPP dengan memasang tanglung dan lampu Tahun Baharu Cina bagi mewujudkan suasana yang ceria serta mengalu-alukan kehadiran peniaga dan pengunjung.

“MPP menyokong sepenuhnya sambutan perayaan dan keharmonian komuniti selagi hiasan tersebut tidak bersifat politik,” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa musim perayaan seharusnya menjadi waktu untuk memupuk muhibah, saling menghormati dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Beliau melahirkan kekesalan kerana perkara tersebut telah dipolitikkan melalui kenyataan pramatang dan berat sebelah tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan daripada pihak MPP.

“Tindakan sedemikian hanya menimbulkan salah faham dan perpecahan yang tidak selari dengan semangat perayaan. Pemimpin masyarakat seharusnya memainkan peranan yang membina dalam memupuk keharmonian, bukannya mencetuskan spekulasi atau ketegangan berhubung perkara penguatkuasaan rutin yang dilaksanakan mengikut peraturan MPP,” katanya.

Beliau menambah bahawa MPP akan terus melaksanakan tanggungjawabnya secara adil dan konsisten, tanpa memihak atau berprasangka, demi memastikan persekitaran yang bersih, teratur dan harmoni untuk semua.

Oleh Connie Chieng

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Miliki SPM bagi pelantikan baharu tuai rumah, penghulu dan pemanca – John Sikie
Next: Saberkas anjur 162 program dalam tempoh tujuh bulan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.