
TATAU: Keperluan memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pelantikan baharu tuai rumah, penghulu dan pemanca adalah selaras dengan tuntutan semasa, khususnya dalam aspek penyediaan laporan dan penggunaan teknologi.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata kelemahan dalam kemahiran pentadbiran, termasuk penggunaan komputer, boleh menjejaskan keberkesanan pengurusan kampung serta hubungan dengan agensi kerajaan.
“Pemimpin komuniti perlu mempunyai asas pengetahuan supaya urusan dokumentasi, laporan dan komunikasi rasmi dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun.
“Jika pentadbiran lemah, pembangunan kampung atau rumah panjang juga akan terjejas,” katanya ketika berucap pada Program Juh Ngopi Ngan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Tatau, hari ini.

John Sikie berkata pemilihan pemimpin masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran dilihat sebagai faktor utama dalam memperkukuh sistem pentadbiran kampung dan rumah panjang di Sarawak.
Katanya, kepimpinan yang mempunyai latar belakang pendidikan serta keupayaan pengurusan yang baik mampu membantu melancarkan urusan pentadbiran di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, John Sikie menggesa pihak berkaitan supaya melaksanakan proses pemilihan secara telus dan berhemah demi kepentingan masyarakat setempat.
Beliau berkata barisan pemimpin yang berwibawa dan berintegriti mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan kampung serta kesejahteraan penduduk.
Sementara itu, Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan mengingatkan masyarakat supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab dalam menerima serta menyebarkan maklumat.
Katanya, penyebaran maklumat tanpa semakan boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Orang ramai perlu memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi, khususnya yang melibatkan dasar kerajaan, bantuan dan isu semasa,” katanya.
Beliau berkata penggunaan media sosial secara beretika dan bijak mampu menjadi medium berkesan untuk memperkukuh perpaduan serta menyokong pembangunan negeri.
Oleh Carolyne Utih