
KUCHING: Angkatan Zaman Mansang(AZAM) Sarawak terus memperkukuh agenda transformasi digital organisasi menerusi penganjuran Bengkel Latihan Canva 101 di Kompleks AZAM hari ini.
Bengkel tersebut menghimpunkan seramai 30 peserta daripada ekosistem AZAM, termasuk Ahli Lembaga Pengarah, ahli-ahli AZAM, pihak pengurusan dan kakitangan, serta belia di bawah platform AZAM AZAM Jiwa Muda (AYS).
Program ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan AZAM dalam meningkatkan literasi digital dan keupayaan komunikasi visual dalam kalangan anggotanya, selari dengan keperluan semasa yang menuntut penyampaian maklumat secara lebih kreatif, pantas dan berimpak.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili, berkata latihan tersebut merupakan langkah strategik bagi memastikan organisasi dan ahlinya kekal relevan dalam era digital.
“Transformasi digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. AZAM perlu memastikan seluruh ekosistemnya mempunyai keupayaan asas dalam reka bentuk dan komunikasi visual agar mesej yang disampaikan lebih jelas, konsisten dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau menambah bahawa penguasaan kemahiran digital asas seperti Canva dapat meningkatkan profesionalisme penyampaian organisasi, khususnya dalam menghasilkan bahan promosi, pembentangan dan kandungan media sosial yang berkualiti serta selari dengan imej dan identiti organisasi.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah AZAM yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Strategik dan Media, Alice Wee, menyifatkan latihan ini sebagai langkah tepat dalam memperkukuh peranan AZAM sebagai organisasi yang berteraskan komunikasi.
“Sebagai organisasi yang menjalankan komunikasi partisipatif di Sarawak, AZAM perlu memastikan mesej yang disampaikan bukan sahaja tepat dari segi kandungan, tetapi juga berkesan dari segi visual.
“Keupayaan ini akan meningkatkan kredibiliti dan keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat,” jelasnya.
Sepanjang bengkel tersebut, peserta diberi pendedahan asas mengenai reka bentuk bahan promosi menerusi media sosial dan poster program, penyediaan slaid pembentangan yang lebih profesional, penghasilan kandungan media sosial yang konsisten serta prinsip asas komunikasi visual.
Sesi turut menerangkan perbezaan antara penggunaan Canva dan PowerPoint (PPTX), yang mana kedua-duanya berfungsi sebagai alat reka bentukdan pembentangan, namun berbeza dari segi fungsi, fleksibiliti reka letak dan kemudahan templat digital yang tersedia.
Bengkel tersebut memberi manfaat langsung kepada ekosistem AZAM dalam memantapkan kebolehupayaan ahlinya, sekali gus menyokong aspirasi Mansang bergerak ke hadapan secara progresif, berilmu dan berdaya saing.
Pendekatan ini juga menggalakkan budaya pembelajaran berterusan serta peningkatan kemahiran secara kolektif dalam organisasi.
Sebagai sebuah organisasi komunikasi, AZAM Sarawak komiteduntuk terus memperkukuh keupayaan digital bukan sahaja dalamkalangan anggotanya, malah menyebarluaskan kemahiran tersebut kepada komuniti melalui latihan, perkongsian kepakaran dan program penglibatan masyarakat.
Inisiatif seperti Canva Training 101 membuka ruang kepada ahli yang mempunyai kepakaran untuk berkongsi ilmu dan pengalaman bersama komuniti setempat, selari dengan peranan AZAM dalam membantu mempercepat literasi digital rakyat Sarawak secara inklusif dan berfokus.
Melangkah ke hadapan, AZAM Sarawak akan terus mempergiat usaha mendigitalisasikan pendekatan komunikasi dan penyampaian program sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan terhadap agenda digital untuk impak, dalam memastikan masyarakat Sarawak lebih bersedia dan celik digital dalam mendepani cabaran masa hadapan.