
KUCHING: Pihak Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil langkah proaktif membantu nelayan di Sungai Apong susulan kebimbangan berhubung pembangunan semula jeti sedia ada bagi tujuan perumahan.
Isu berkenaan timbul pada penghujung tahun lalu apabila nelayan Sungai Apong bertemu Setiausaha Politik, Kho Teck Wan bagi menyuarakan cabaran yang bakal dihadapi sekiranya jeti tersebut dirobohkan, khususnya berkaitan urusan berlabuh dan memunggah hasil tangkapan.
Dalam pertemuan itu, para nelayan mencadangkan agar jeti lama di sepanjang Sungai Apong yang kini dipenuhi tumbuhan liar, pokok besar dan kawasan bakau dapat digunakan semula.
Kho membawa perkara tersebut kepada perhatian Lembaga Sungai Sarawak (LSS), serta Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bagi mendapatkan bantuan dan penyelesaian sewajarnya untuk nelayan terlibat. Isu sama turut diketengahkan oleh Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo.
Susulan permohonan itu, LSS bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) telah mengadakan tiga lawatan tapak ke jeti lama berkenaan bagi menilai tahap keselamatan dan integriti strukturnya.
Penilaian teliti turut dilaksanakan bagi memastikan kerja pembersihan tidak menjejaskan tebing sungai serta memelihara alam sekitar termasuk hidupan liar dan kawasan bakau di sepanjang Sungai Tabuan.

Hari ini, kaedah dan pendekatan kerja pembersihan yang dicadangkan dibentangkan oleh LSS dan NREB kepada Dato Wee, Kho serta wakil nelayan untuk perbincangan lanjut.
Persetujuan Dato Wee untuk memberikan bantuan yang diperlukan kepada LSS serta persetujuan nelayan terhadap proses pembersihan tersebut, kerja-kerja membersihkan tumbuhan liar di sepanjang Sungai Tabuan berhampiran jeti lama akan dimulakan dalam masa terdekat.
Kerja berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan.
MBKS turut akan membantu dengan menyediakan kemudahan seperti tong ‘Roll-on Roll-off (RoRo)’ dan sokongan landskap bagi memastikan kerja di tebing sungai dapat dilaksanakan dengan lancar.
Kerjasama ini mencerminkan penyelarasan kukuh antara pihak berkuasa tempatan dan agensi negeri dalam menangani keperluan komuniti.
Dato Wee merakamkan penghargaan kepada LSS dan NREB atas kerjasama yang diberikan serta menegaskan komitmen MBKS untuk terus menyokong nelayan Sungai Apong dalam usaha memindahkan bot mereka ke jeti lama tersebut.
“Jeti ini bukan sekadar sebuah struktur, tetapi lambang sumber rezeki kepada banyak keluarga. Sebagai bandar raya, kita perlu memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab sambil menjaga kebajikan komuniti setempat. Tiada sesiapa akan dipinggirkan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
MBKS turut menggesa penduduk setempat dan para nelayan agar memberikan kerjasama penuh sepanjang tempoh kerja pembersihan dijalankan supaya projek dapat disiapkan dengan cekap dan selamat.
Inisiatif di Sungai Apong ini membuktikan komitmen berterusan MBKS terhadap pembangunan inklusif, penglibatan komuniti serta penyelesaian praktikal yang menyeimbangkan kemajuan dan kelangsungan mata pencarian rakyat.