
KUALA LUMPUR: Pasangan Diraja Brunei, Paduka Seri Pangiran Muda Abdul Mateen dan isteri, Paduka Seri Pangiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam berkongsi foto pertama cahaya mata sulung mereka kepada umum.
Minggu lalu, pasangan diraja itu mengumumkan kelahiran bayi perempuan mereka.
Dalam perkongsian terbaharu di Instagram Putera Mateen, mereka turut mendedahkan nama puteri kesayangan yang diberi nama Zahra Mariam Bolkiah.
Menurut perkongsian itu, nama Zahra berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud sinar kecemerlangan, keindahan dan bunga.

Putera Mateen memuat naik sekeping gambar memaparkan beliau bersama isteri dan bayi perempuan mereka di akaun Instagram miliknya.
“Beta dan Anisha sangat bersyukur kepada pasukan di JPMC yang luar biasa atas penjagaan serta sokongan yang diberikan. Kami dengan tulus ikhlas berterima kasih atas segala ucapan baik yang diterima,” tulis baginda.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya yang turut menzahirkan ucapan tahniah serta doa kesejahteraan buat keluarga diraja berkenaan.