Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Epilog Seorang Pelupa
  • WBS

Epilog Seorang Pelupa

Utusan Sarawak 5 hours ago

“ABANG, bangunlah. Dah nak syuruk. Nanti awak terlepas Subuh lagi.”

Lembut sungguh bunyi pujukan itu, namun di sebaliknya terserlah ketegasan yang tidak boleh dipandang enteng. Dia lantas bangkit, meninggalkan lena dengan mata yang terpijat-pijat. Sungguh liat.

Begitulah olahnya setiap kali dikejutkan kala dinihari. Namun pujukan itu ibarat sinaran yang menerangi gelita hidupnya. Untuk insan yang sering culas menunaikan kewajipan lima waktu, suara pujukan itu seolah-olah tali yang menariknya ke pangkal jalan.

Dia meraup wajah. Malu pada sejadah yang dahulu jarang disentuh oleh dahinya, malu jua pada isterinya yang tak jemu-jemu mengejutnya.

Pagi itu mereka bersiap untuk ke tempat kerja. Seperti biasa, sang suami siap lebih awal, menghidupkan enjin kereta dan menunggu isterinya di kereta. Setiap pagi, mereka perlu mengharungi sesak pusat bandar yang panjang.

Kebiasaannya, dia akan menghantar isterinya terlebih dahulu sebelum menuju ke pejabatnya yang tidak jauh dari tempat kerja isterinya.

Sesampainya di perkarangan pejabat, dia melangkah turun lalu terasa sesuatu keanehan pada kakinya.

“Aduh, kasut aku!” dia menepuk dahi setelah melihat kakinya yang hanya berstoking. “Macam mana aku boleh terlupa pakai kasut?” dia menunduk, menatap hujung stoking yang sudah melekat debu lalu menghela nafas panjang. Dikuatkannya hati berjalan perlahan-lahan ke arah pejabat. Dia duduk di meja kerjanya seraya menutup muka dengan tangan. Dia terbayangkan reaksi isterinya jika ketahuan akan hal ini.

“Abang, mana kasut abang? Abang lupa, ya?” dia membayangkan isterinya menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum kecil. Senyuman manis yang sentiasa menenangkan sukmanya. Atau, mungkin dia akan dimarahi akibat kelupaannya itu. Lantas, dia menangkap gambarnya yang hanya berstoking dan menghantar kepada isterinya dengan kapsyen ringkas:

Laporan pagi: Suami awak datang kerja tanpa kasut. Harap maklum.

***

Bunga di taman kelihatan kelayuan. Kuntum demi kuntum gugur menyentuh bumi. Mungkin masanya sudah tiba. Selepas itu, kuntuman yang lain akan naik mekar dan kembali layu. Itulah kitaran yang tidak pernah jemu berulang-ulang.

Memori. Demikianlah analogi fikirannya kini. Kotak mindanya umpama bunga di taman itu. Apabila mekar, ia mewangi dan indah. Tiba masanya bunga itu layu, ia gugur tanpa dapat ditahan.

Imbasan bahagia itu hadir sebentar, merawat rasa rindu yang tidak dapat dibendung, kemudian dilapisi dengan tragedi yang membunuh bahagia itu. Dia terperangkap dalam gelung masa itu. Putarannya mundar-mandir dalam khayalan, berulang dan kembali ke pangkal yang sama. Mendatangkan gundah di relung hati.

***

Seperti biasa, jam tubuh mengejutkannya sebelum waktu Subuh. Dahulu, berat sekali rasa meninggalkan tilam empuk ini. Kini, dia seolah-olah menunggu saat itu tiba pada setiap hari. Itulah hasil kesabaran dan bimbingan bidadari hidupnya yang setia menuntun dirinya ke pangkal jalan.

“Abang, cepat siap. Nanti terlepas jemaah,” suara itu memanggil dari pintu. Dia mengangguk sambil tersenyum kecil.

Rutin mereka dimulakan dengan berjalan beriringan ke masjid berdekatan. Kelihatan bayang-bayang memanjang di atas jalan tar hasil biasan cahaya lampu jalan yang kekuningan.

Kebahagiaan yang terserlah hasil daripada kisah cinta yang tulus ikhlas antara dua insan yang saling menyayangi. Udara segar setiap pagi yang mendamaikan, dihangatkan dengan senda gurau tawa pasangan itu.

Sebaik sahaja sampai di beranda masjid itu, mereka membawa haluan masing-masing.

“Doakan saya selalu ya bang,” sempat si isteri menitipkan pesan.

Usai solat, sang suami pulang sendirian. Tiada lagi senda gurau sepanjang perjalanan pulang, hanya bunyi tapak kakinya sendiri dan lidahnya yang dibasahi dengan zikir mengingati Tuhan, jua titipan doa buat isteri tercinta.

Sepi sungguh suasana itu, namun bisikan suara halus itu setia membisikkan kata-kata syahdu di telinganya.

“Abang, bangunlah. Dah nak syuruk. Nanti awak terlepas Subuh lagi.

Suara itu bukan mimpi mahupun misteri. Ia bisikan daripada insan yang sentiasa dirindui, yang hadir dalam bentuk imaginasi dan bayangan yang sering mundar-mandir dalam fikirannya.

***

“Sayang, mana kunci kereta saya?” tanya sang suami kepada si isteri, bunyi resah bergema di penghujung soalan itu. Tangan meraba-raba poket, namun hasilnya tetap sama. Kunci itu tiada.

“Biasanya awak letak dalam poket. Mana pula hilangnya kali ini?” balas isterinya, sambil tersenyum kecil.

Mereka baru pulang dari tempat kerja. Mengharungi jalan yang sesak menyebabkan mereka hanya sampai ke rumah menjelang hari gelap. Itulah rutin seharian mereka.

“Alamak, lepas buka pintu tadi, saya letak kunci atas bumbung kereta. Tangan penuh dengan barang awak,” sang suami menepuk dahinya.

“Amboi, salahkan saya pula! Padahal abang yang cuai,” muncung bibir isterinya, menunjukkan muka merajuk kerana dijadikan si tertuduh dalam kes ini.

Sang suami tersipu-sipu. “Eh, bukan salahkan awak! Cuma saya hairan, bagaimana kereta tetap boleh bergerak walaupun kuncinya berada di luar kereta?” dia kehairanan.

“Dalam beg tangan saya ada kunci pendua, sebab itulah kereta ini masih dapat bergerak” jelas isterinya. Dia sudah sedia maklum akan sifat pelupa suaminya itu. Sudah puas dia menasihati, malah ada juga dia memarahi suaminya itu. Akhirnya, dia terpaksa menerima hakikat itu. Prinsipnya kini, sediakan payung sebelum hujan. Sentiasa bersedia dengan apa-apa sahaja kemungkinan yang berlaku, tambah-tambah lagi dengan keadaan suaminya yang pelupa itu.

***

Pada suatu pagi Subuh, ketika mereka melangkah pulang, si isteri bertanya kepada suaminya, memecahkan kesunyian fajar. “Abang, kalau diberi pilihan untuk dapatkan sesuatu, apa yang abang nak sangat?”

Sang suami memandang wajah isterinya, sambil tertawa kecil. “Awak ni, macam mana boleh tanya soalan ini pada waktu begini? Ada-ada sahajalah awak ni,” gurau sang suami, yang suka benar menyakat isterinya.

“Abang jawab sajalah. Saya nak tahu,”

“Kalau saya diberi pilihan, saya nak satu perkara sahaja. Biarlah memori kita berjalan begini tak pernah pudar dalam ingatan saya. Saya nak kenangan ini mekar selama-lamanya.”

***

Malam itu, sang suami tidak dapat melelapkan matanya. Memusing-musingkan badannya, bingung memikirkan kunci yang tercicir itu. Bayangan kos menggantikan kunci itu merisaukan benak hatinya. Akhirnya dia bangun mencapai jaketnya di belakang pintu bilik.

“Sayang, saya nak keluar cari kunci. Saya rasa saya tahu tempat kunci itu tercicir.”

Si isteri memandang jam dinding. “Dah lewat, bang. Esok sajalah. Kalau susah sangat, nanti kita gantikan dengan yang baru,” pujuk isterinya.

“Sekejap saja sayang, saya janji. Kalau tak jumpa juga, saya balik semula ke rumah,” sang suami tetap berdegil. Kekal dengan keputusannya.

Isterinya menarik nafas, lalu mengangguk. “Baiklah, kalau macam itu, saya nak ikut juga. Sunyi pula saya nanti tinggal seorang sahaja di rumah ini,” sempat tangannya menarik janggut sejemput suaminya itu, menutup keresahan dan rasa tidak sedap hati yang menjalar dalam nalurinya.

Langit sangat pekat malam itu tanpa sinaran cahaya bulan. Jalan sunyi tanpa kenderaan. Permukaannya nampak berkilat usai gerimis yang melanda sebentar tadi. Cahaya lampu jalan berwarna kuning melimpahkan cahaya menyuluh kegelapan malam dengan cahaya malapnya.

Kereta diberhentikan di tepi jalan. Sang suami menapak segera turun dari kereta untuk menyelesaikan misinya.

“Abang, jangan lama sangat ya,” ada getar halus pada suara isterinya itu.

Sang suami berjalan di sisi jalan itu sambil menunduk-nunduk mencari kunci. Tangannya gigih menyuluh lampu putih daripada telefon bimbit. Kira-kira 50 meter meninggalkan kereta, matanya menangkap sesuatu yang sangat dikenali. Kunci itu!

Alangkah girangnya hatinya apabila melihat objek itu sudah berada di hadapannya. Kunci itu digenggam erat, kebasahan sedikit telapak tangannya mungkin disebabkan kunci ini disimbah hujan sebentar tadi lalu dia menoleh ke belakang, menjulang kunci itu untuk ditunjukkan kepada si isteri yang setia menunggu.

“Sayang, saya dah jumpa…”

Ayatnya terhenti. Belum sempat senyumannya terukir lengkap di hujung pipi, satu cahaya putih yang menyilaukan membelah kegelapan malam. Terang yang amat. Datang dengan pantasnya.

Bunyi tayar yang dipaksa untuk pegun mengheret mencengkam jalan raya yang basah itu. Nyaring, membingitkan gegendang telinganya. Bising, sehingga merobek sunyi malam itu.  Ngilu, menusuk jantungnya.

Dan kemudian, satu bunyi dentuman menyusul menghasilkan cahaya jingga yang membahang. Menggantikan cahaya putih yang menyilaukan itu. Menelan segala isi kereta di tepi jalan itu. Cahaya yang bakal menjadikan hidupnya gelap-segelapnya.

Dentuman itu meruntuhkan seluruh isi dunianya.  Kejadian itu berlaku tanpa diduga. Sang suami berlari, namun lututnya terasa longgar tiada berdaya. Dia terduduk di tepi jalan, kunci terlepas daripada genggaman. Lidahnya terkelu. Lisannya membisu. Pengakhiran yang tidak pernah diimpikannya. Tidak sama sekali.

***

Sejak tragedi itu, dunia terasa sangat kosong. Luka itu terlalu dalam sehingga tidak mampu disembuhkan. Dia tidak sudah-sudah menyalahkan dirinya yang menjadi musabab kematian isterinya.

Kalau.

Kalaulah aku tak lupa kunci itu.

Kalaulah aku tak berdegil.

Kalaulah aku dengar kata isteriku.

Sanubarinya terseksa. Jiwanya meronta-ronta. Hilang arah tuju untuk meneruskan kehidupan. Bagaimana dia hendak teruskan semua ini tanpa bidadari di sampingnya? Mengapa takdir untuk dirinya menusuk dengan kejam sekali?

Kadangkala, dia akan melihat kunci di atas meja, mengenang kembali kisah tragik itu, yang menjadi igauan fikirannya.

“Abang, bangunlah. Dah nak syuruk. Nanti terlepas Subuh lagi,”

“Abang, bangunlah,” suara itu memujuk lagi. Menyentak perasaan sang suami yang kehilangan. Mencari-cari asal suara bisikan itu. Suara itu, bisikan itu, terasa sangat syahdu. Menyedarkannya daripada rasa seksa menyalahkan dirinya sendiri.

Dia bangkit, bersiap lantas ke masjid untuk menunaikan kewajipan. Si isteri setia bertelekung putih menunggu di sisi pintu. Sedia menemaninya menunaikan fardu dua rakaat itu.

Senyuman dan pandangan mata itu sentiasa menyenangkan hatinya. Dalam ingatannya, kenangan yang terpancar itu seperti hidup, seperti tidak mahu pergi meninggalkannya.

Kalau saya diberi pilihan, saya nak satu perkara sahaja. Biarlah

memori kita berjalan begini tak pernah pudar dalam ingatan saya.

Saya nak kenangan ini mekar selama-lamanya.

Setiap kata-kata itu ialah doa. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Akhirnya, dia pasrah menerima ketentuan Tuhan. Rasa cinta akan isterinya sudah pasti kekal seribu tahun lamanya.

Kisah cinta ini walaupun sudah tamat di dunia nyata, namun tetap kekal mekar dalam lubuk jiwanya. Kenangan itu, walaupun pada penghujungnya menimbulkan gundah-gulana, tetap akan menjadi memori yang disimpan sampai bila-bila.

Setiap kali panggilan Subuh bergema gelintar alam, dia pasti akan tersenyum lalu berbisik, “Terima kasih sayang. Ya, saya sentiasa ingat.”

Namun, di sebalik senyuman itu, dia akur bahawa ingatan manusia ini bukanlah hak milik yang mutlak. Hanya pinjaman yang bila-bila masa sahaja boleh gugur seperti gugurnya kuntuman bunga yang layu.

Maka, selagi kudrat masih ada, dia akan sentiasa mengulang kenangan itu, merenung kunci yang menjadi punca tragedi, menyarung stoking yang pernah mengundang tawa isterinya dan membisikkan doa untuk insan tersayang yang telah pergi. Pergi yang tiada kembalinya.

Dia akur, ingatan manusia hanyalah pinjaman yang rapuh. Namun, selagi kudrat masih tersisa, dia memilih untuk terus hanyut dalam kenangan itu. Cinta itu, tidak akan hilang terkubur.

Akan kekal hidup, menyelinap dalam setiap lupa yang tidak disengajakan dan mekar dalam setiap doa yang dikirimkan. Sentiasa menjelma bak utusan warkah cinta daripada pengirim yang jauh nun di sana.

Tidak pernah sirna ditelan waktu kerana sudah tertulis dalam suratan ketentuan. Terus kekal, walau untuk seorang pelupa. Sepertinya.

Oleh Raja Nazran Shah

Continue Reading

Previous: Realisme Magis Borgesian dalam Cerpen “Mesyuarat Ini Akan Diteruskan”

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.