
LUBOK ANTU: Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an bersama seorang lelaki warga asing berumur lewat 20-an ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran di Jalan Batu Kaya, di sini, semalam.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, kedua-dua suspek ditangkap oleh sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas IPD Lubok Antu dalam satu operasi khas yang dijalankan di kawasan berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek lelaki warga asing berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine selepas menjalani ujian saringan awal air kencing yang dijalankan pihak polis.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas kenderaan jenis Perodua Kancil, satu batang kunci kenderaan serta dua telefon bimbit dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM6,500.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
IPD Lubok Antu menegaskan akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran serta pelanggaran undang-undang imigresen, khususnya di kawasan sempadan Malaysia–Indonesia.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran diminta menyalurkan maklumat kepada IPD Lubok Antu menerusi talian 083-584102 bagi membantu siasatan.
Oleh Adi Safarman