Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • Pemilikan senjata api tanpa lesen satu kesalahan serius
  • JENAYAH

Pemilikan senjata api tanpa lesen satu kesalahan serius

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATUK Mohamad Abdullah bercakap kepada media selepas majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Kontinjen Sarawak di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka, hari ini.

KUCHING: Isu pemilikan senjata api tanpa lesen terus menjadi perhatian pihak berkuasa susulan beberapa kes melibatkan senjata buatan sendiri yang dikesan di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Abdullah berkata, pemilikan senjata api perlu mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hanya senjata yang dibeli daripada pembekal sah sahaja boleh dipertimbangkan untuk kelulusan.

“Pemilikan senjata ini perlu mendapat kelulusan daripada PDRM. Apa yang berlaku, banyak mereka membuat senjata buatan sendiri yang tidak akan mendapat kelulusan daripada kita sebab buatan sendiri. Kita hanya membenarkan kelulusan yang dibeli daripada pembekal yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis Pelancaran Op Selamat 25 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Kontinjen Sarawak di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka, di sini hari ini.

Menurutnya, setakat tangkapan yang dibuat, terdapat beberapa kes melibatkan senjata buatan sendiri seperti bakakuk.

“Setakat yang kita tangkap itu adalah beberapa kes, mereka panggil bakakuk dan sebagainya,” jelasnya.

Tegas beliau, memiliki apa juga jenis senjata, sama ada senjata sebenar mahupun buatan sendiri, tetap menjadi satu kesalahan sekiranya tidak mempunyai lesen.

“Memiliki apa juga senjata perlukan lesen, perlukan kelulusan. Mana-mana orang yang memiliki senjata tidak kira senjata sebenar ataupun senjata buatan tetap menjadi satu kesalahan sekiranya mereka tidak memiliki lesen sama ada untuk pemilikan, memburu ataupun untuk mempertahankan nyawa atau harta benda,” katanya.

Tambah beliau, individu yang mempunyai keperluan untuk memiliki senjata api perlu membuat permohonan dan pihak polis akan menimbang serta memproses permohonan tersebut sebelum kelulusan diberikan.

“Kalau ada keperluan untuk mereka memiliki senjata api maka kita akan timbangkan, kita akan proses dan kita akan dapatkan kelulusan supaya hanya mereka yang mempunyai lesen sahaja boleh memiliki,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati memiliki senjata api tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah Akta Senjata 1960, khususnya Seksyen 8.

“Sekiranya mana-mana orang ataupun individu didapati memiliki senjata api tanpa lesen maka itu menjadi satu kesalahan di bawah Akta Senjata 1960 iaitu di bawah Seksyen 8. Walaupun memiliki peluru pun menjadi satu kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, pihak polis akan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini termasuk yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Kita akan ambil tindakan yang tegas sebab kita tidak mahu berlaku insiden sehingga menyebabkan kematian,” tegas beliau.

Terdahulu, pada 6 Februari lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Matu Daro berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki memiliki dua laras senapang patah buatan sendiri atau bakakuk, komponen senapang patah serta enam butir peluru 12 bore tanpa permit yang sah di Kampung Sedi, Daro.

Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos berkata, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Matu Daro dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Menurutnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 35 tahun itu positif dadah jenis Amphetamine atau Methamphetamine.

Penahanan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Pada 6 Februari, suspek telah dituduh di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 di Mahkamah Sarikei. Tiada pengakuan direkodkan dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 12 Februari ini dan sementara menunggu tarikh berkenaan, tertuduh menjalani tahanan reman di Penjara Sibu.

Memiliki senjata dan peluru tanpa permit yang sah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: Polis Bau rekod tiga kes berasingan, termasuk judi dalam talian
Next: Lelaki ditahan curi sawit di Saratok, kenderaan dan peralatan dirampas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.