
KUCHING: Sarawak menegaskan komitmen untuk beralih daripada perancangan kepada pelaksanaan sebenar bagi memperkukuh daya saing ekonomi negeri dan ASEAN dalam landskap global yang semakin berpecah serta tidak menentu.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pendekatan pembangunan negeri kini memberi tumpuan kepada disiplin fiskal, pelaburan strategik serta keupayaan melaksanakan dasar secara berkesan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
“Dalam persekitaran global yang semakin berpecah, cita-cita sahaja tidak mencukupi kerana daya saing ditentukan oleh keupayaan melaksanakan dasar.

“Forum ini bukan sekadar mengulangi perancangan jangka panjang tetapi menumpukan kepada bagaimana dasar diterjemahkan kepada hasil yang boleh diyakini pelabur.
“Sarawak terbuka kepada pelaburan dan yang lebih penting, Sarawak serius dalam pelaksanaan. Kami memberi keutamaan kepada sektor yang mempunyai kelebihan jelas seperti tenaga, infrastruktur dan keupayaan industri,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan dan Ekonomi ASEAN Sarawak 2026, di sebuah hotel terkemuka, di sini hari ini.
Tambah beliau, Bajet Sarawak 2026 disediakan berasaskan andaian konservatif namun negeri masih mampu mencatat lebihan belanjawan hasil pengurusan kewangan berdisiplin serta sumber pendapatan yang pelbagai.
“Perbelanjaan pembangunan berjumlah RM9.3 bilion memberi fokus kepada infrastruktur, kapasiti industri, sistem tenaga dan kesiapsiagaan digital.

“Pelaburan tenaga boleh diperbaharui serta kebolehpercayaan grid akan memastikan bekalan tenaga tidak menjadi kekangan pertumbuhan industri.
“Melalui Invest Sarawak dan Polisi Pelaburan Sarawak yang sedang dimuktamadkan, proses kelulusan akan dipercepatkan dan lebih telus bagi meningkatkan keyakinan pelabur,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan empat sektor utama selepas 2030 iaitu tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, pembangunan modal insan serta aeroangkasa termasuk pembangunan nanosatelit CubeSat bagi penyimpanan data.
“Sarawak juga menubuhkan unit diplomasi iklim bagi menyelaraskan dasar kelestarian dengan negara jiran.
“Kami merancang pengangkutan awam berkuasa hidrogen yang dijangka dilaksanakan seawal tahun hadapan.
“Cadangan penubuhan Komuniti Ekonomi Borneo (BEC) bersama rakan serantau akan memperkukuh kedudukan pulau Borneo sebagai nadi ekonomi ASEAN,” ujarnya.
ASBEF 2026 dianjurkan bersama oleh Kelab Ekonomi ASEAN (AEC), Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik dan Kelab Perniagaan ASEAN.
Forum tersebut menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pembuat dasar, pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan, pelabur serta pakar industri dari seluruh ASEAN dan luar rantau bagi membincangkan kekangan struktur yang dihadapi rantau ini.
Oleh Masrin Affirah