
BAU: Polis Bau merekodkan tiga kes berasingan melibatkan pencerobohan jenayah, khianat dan tangkapan berkaitan judi dalam talian, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide Abd Rahman berkata, kes pertama melibatkan pencerobohan jenayah di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, seorang pembantu tadbir wanita berusia 32 tahun membuat laporan polis pada 8.12 pagi, susulan kejadian di rumahnya di Kampung Krian, Tasik Biru, kira-kira 6.10 pagi.
“Pengadu terdengar bunyi motosikal dan mengejutkan suaminya untuk memeriksa keadaan. Suaminya melihat dua lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan di hadapan pintu rumah mereka. Beliau segera menutup pintu dan menghubungi polis,” katanya.

Siasatan awal mendapati tiada kehilangan atau kerosakan. Pemeriksaan polis mendapati rumah tersebut hanya dipagar di bahagian pintu masuk hadapan manakala kawasan sekeliling tidak berpagar.
Suspek dipercayai memasuki kawasan rumah selepas membuka pintu pagar hadapan.
Haide berkata kes tersebut diklasifikasikan sebagai selesai susulan penahanan suspek.
Dalam kes berasingan, polis sedang menyiasat perbuatan khianat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan melibatkan kerosakan harta benda di Happy Claw Enterprise di Tasik Biru.
Beliau berkata, seorang wanita bekerja sendiri berusia 39 tahun mendapati dua panel kaca kiosk di premisnya retak kira kira 10.00 pagi pada hari yang sama.

“Rakaman CCTV antara 5.50 pagi hingga 6.00 pagi menunjukkan dua lelaki menumbuk dan menendang kaca mesin permainan serta merosakkan butang mesin tersebut,” katanya.
Suspek digambarkan sebagai seorang lelaki memakai baju putih dan seluar jeans hitam, berbadan kurus dan agak rendah, serta seorang lagi memakai jaket hitam dan merah dengan seluar jeans hitam, berambut pendek serta berbadan kurus dan tinggi.
Kerugian dianggarkan kira kira RM1,000. Kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, dalam operasi dikenali sebagai Op Dadu, polis menahan seorang wanita tempatan berusia 28 tahun kerana disyaki bertindak sebagai ejen tambah nilai judi dalam talian di sebuah premis di Senggi Poak, Tondong, kira-kira 3.45 petang.
Haide berkata, suspek ditahan semasa pemeriksaan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bau.
Polis turut merampas sebuah telefon pintar jenama Redmi dan wang tunai berjumlah RM200 dalam pelbagai denominasi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4B a Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sebelum ini disenaraikan sebagai orang dikehendaki.
“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai selesai dengan penahanan yang dibuat,” tambahnya.
Oleh Connie Chieng