
KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) merakamkan penghargaan atas peranan media dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan strategik Pelabuhan Bintulu sebagai pemacu ekonomi negeri dan negara.
Menurut Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Dato Ruslan Abdul Ghani, sokongan berterusan pengamal media telah membantu memperluas capaian maklumat berkaitan operasi, pencapaian serta peranan Pelabuhan Bintulu kepada masyarakat luas.

“Pada 2025 sahaja, Pelabuhan Bintulu telah disebut lebih 350 kali dalam liputan media, menunjukkan komitmen berterusan rakan media dalam menyampaikan maklumat kepada umum.
“Liputan oleh pelbagai agensi media turut membantu meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan strategik pelabuhan ini di peringkat nasional.

“Media menjadi penghubung penting antara operasi pelabuhan dan masyarakat, sekali gus membina keyakinan awam terhadap sumbangan Pelabuhan Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Malam Apresiasi Media BPHB 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.
Tambah beliau, Pelabuhan Bintulu kini giat melaksanakan transformasi digital serta menaik taraf peralatan operasi bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing.


“Selain fokus kepada operasi, Pelabuhan Bintulu turut komited dalam tanggungjawab sosial termasuk sumbangan lebih RM1 juta bagi projek Anjung Kasih di Hospital Bintulu.
“Kami juga berbangga menjadi rakan strategik kepada Sukan Olimpik Khas Malaysia 2026 yang bakal berlangsung di Bintulu,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak susulan proses pemindahan status pelabuhan yang kini berada di peringkat akhir, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada rakan media atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam menyampaikan informasi berkaitan perkembangan dan pencapaian Pelabuhan Bintulu kepada masyarakat.
Oleh Masrin Affirah