Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Bintulu Port Holdings Berhad sasar digital sepenuhnya menjelang 2030
  • TEMPATAN

Bintulu Port Holdings Berhad sasar digital sepenuhnya menjelang 2030

Utusan Sarawak 6 hours ago
DATO Ruslan Abdul Ghani bercakap ketika ditemui pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi Media Bintulu Port Holdings Berhad di sebuah hotel terkemuka, Kuching.

KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad menyasarkan untuk menjadi pelabuhan digital sepenuhnya menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada pelan transformasi jangka panjangnya ke arah automasi penuh menjelang 2050.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Ruslan Abdul Ghani, pelbagai langkah telah diambil sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam tempoh tiga tahun terakhir bagi mempercepatkan agenda pendigitalan operasi pelabuhan.

“Pelaksanaan awal dimulakan dengan sistem pintu masuk pintar serta pemasangan sistem pengecaman nombor pendaftaran kenderaan bagi melancarkan pergerakan keluar masuk kenderaan di kawasan pelabuhan.

BINTULU Port Holdings Berhad.

“Pada masa sama, pihak kami sedang memasang sistem operasi pelabuhan bertaraf terkini yang setanding dengan teknologi digunakan di Pelabuhan Automasi Yangshan Fasa 4 di Shanghai.

“Sistem ini akan membolehkan pelaksanaan operasi pelabuhan bersepadu sepenuhnya, sekali gus menyediakan kaedah kerja lebih maju kepada pelanggan serta meningkatkan kecekapan dan produktiviti kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi Media Bintulu Port Holdings Berhad di sebuah hotel terkemuka, di sini, semalam.

Tambah beliau, sistem operasi pelabuhan tersebut telah dilaksanakan di Pelabuhan Perindustrian Samalaju sejak September tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya di Pelabuhan Tanjung Kidurong serta MyPort menjelang April tahun ini.

Selain itu, pelabuhan berkenaan turut memasang sistem marin bagi pengurusan kapal yang lebih cekap, sistem kamera litar tertutup (CCTV) serta memanfaatkan teknologi digital melalui penggunaan dron dalam operasi harian.

“Kita telah melaksanakan penggunaan sistem dron berlapis dan merupakan yang pertama di Malaysia memiliki sistem tersebut. Beberapa lagi inisiatif digital sedang dirancang bagi menyokong transformasi tersebut.

“Dalam usaha menuju automasi penuh menjelang 2050, pihak kami kini dalam proses memasang sistem digital berkembar dan sekiranya ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat, Pelabuhan Bintulu bakal menjadi antara yang terawal di Malaysia menggunakannya dalam operasi pelabuhan,” jelasnya.

Ruslan menegaskan bahawa usaha pendigitalan itu bukan sekadar mengejar teknologi semata-mata, sebaliknya bertujuan meningkatkan kecekapan dan produktiviti yang akhirnya memberi manfaat kepada pelanggan.

Mengulas mengenai tarif Amerika Syarikat (AS), beliau berkata pelabuhan tersebut tidak begitu terjejas kerana jumlah dagangan langsung dengan negara itu adalah rendah berbanding China, Jepun dan beberapa negara Eropah.

“Kebanyakan produk khususnya di Samalaju adalah untuk pasaran Timur seperti China dan Jepun. Jika negara tersebut terkesan akibat tarif AS, mungkin ada kesan tidak langsung kepada kita, namun setakat ini impaknya tidak begitu besar dan kami agak terlindung,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media atas sokongan berterusan sepanjang perjalanan transformasi dan pembangunan pelabuhan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Oleh Masrin Affirah

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Tahun Baharu 2026: Pencarian Juara Digital Sarawak bermula
Next: Peranan media perkasa Pelabuhan Bintulu sebagai pemangkin ekonomi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.