

SARIKEI: Tiga individu yang disyaki sebagai ‘tokan’ dadah antara 61 tangkapan yang direkodkan sepanjang Januari 2026 menerusi beberapa siri Op Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sarikei.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitenden Aswandy Anis, berkata tangkapan tersebut melibatkan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di Daerah Sarikei, Tanjung Manis dan Belawai.
“Di antara yang ditangkap adalah tiga individu yang disyaki sebagai ‘tokan’ telah ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Di samping itu, seramai 15 individu turut ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, manakala dua individu ditahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki air ketum yang disyaki untuk dijual,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tambahnya, seramai 41 individu lagi ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif dadah melalui ujian air kencing.
“Sementara itu, seramai 13 individu penagih tegar telah dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana mereka dikenakan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan.
“Sepanjang Januari 2026 juga, pihak polis berjaya merampas sebanyak 12.20 gram Eramin 5, 14.90 gram dadah syabu serta 32,000 mililiter air ketum.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan terus mempertingkatkan tindakan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” tegasnya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah agar tampil menyalurkan maklumat melalui hotline JSJN di talian 012-2087222 (JSJN Bukit Aman) dan 017-5929211 (JSJN Sarawak).
Oleh Earl Anek