
BAU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, kedua-dua suspek ditahan sekitar 3.00 petang selepas keputusan ujian mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Susulan keputusan ujian tersebut, kedua-dua individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek pertama ialah pemandu lori berusia 40 tahun dari Kampung Serikin, Bau dan mempunyai rekod lampau di bawah seksyen sama. Suspek kedua, juga berusia 40 tahun, merupakan buruh kasar dari Bukit Katil, Melaka dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku kali terakhir mengambil dadah jenis syabu tiga hari sebelum ditahan.
Tiada sebarang rampasan dadah atau barangan lain dibuat dalam kes tersebut.
Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Bau bagi membantu siasatan lanjut.
Oleh Connie Chieng