
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kertas siasatan rasuah pengurusan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) melibatkan dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) kepada Pejabat Peguam Negara pada Jumaat ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan terhadap dua pegawai itu kini berada pada peringkat akhir.
“Saya (telah) memberi tempoh dua minggu kepada pegawai penyiasat dan saya jamin menjelang Jumaat kertas siasatan akan diserahkan dengan cadangan pertuduhan terhadap dua individu itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Dua pegawai tertinggi itu ditahan SPRM pada 29 Januari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan SPRM menambah empat lagi pegawai di Kementerian Pertahanan bagi membantu menangani isu ketirisan dan tadbir urus, khususnya yang melibatkan perolehan di kementerian itu.
Azam berkata setakat ini, masih terlalu awal untuk menyatakan kementerian itu berjaya dibersihkan.
Pada Januari lepas, empat pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia didakwa di mahkamah membabitkan salah guna kuasa dalam perolehan ketenteraan dan pengurusan dana kebajikan, termasuk kes berkaitan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) serta pembekalan di bawah Kementerian Pertahanan.
Isu itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan rasuah harus diperangi secara besar-besaran tanpa perlindungan undang-undang termasuk terhadap pegawai berpangkat tinggi. – Bernama