LAWAS: Sarawak mempunyai masa depan yang paling cerah dalam membangunkan sektor tenaga berasaskan hasil bumi dan laut.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr. Abang Johari Tun Abang Openg memberi bayangan awal bahawa Utara Sarawak akan menjadi nadi pembangunan Sarawak dalam sektor hidro karbon seperti gas dan minyak.
Namun kata beliau, inisiatif tersebut mempunyai kaitan dengan sumber asli negeri ini yang mana hak ke atasnya telah diiktiraf oleh mahkamah baru-baru ini.
“Memang benar Sarawak mempunyai 54 peratus rizab gas negara ini.
Bermula dari Lawas, perut bumi Sarawak melandai hingga ke Baram, ke Balingian dan dari Balingian terus ke Natuna,” jelas beliau ketika memberi petunjuk kepada ciri-ciri inisiatif tersebut.
Mengenai cadangan oleh pelabur untuk membina loji penapisan minyak di sini, beliau berkata kajian hidrolik akan dilaksanakan sebagai fasa terakhir beberapa siri kajian yang harus dijalankan.
Ketua Menteri menjelaskan demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Ketua Menteri Sarawak di Stadium Tertutup Lawas anjuran Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) malam kelmarin.
Ketua Menteri menyeru agar rakyat terus memberi kepercayaan dan mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memastikan masa depan yang lebih gemilang untuk Sarawak dan rakyatnya.
Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk memindahkan cadangan tapak lapangan terbang baharu Lawas ke lokasi lain untuk memberi laluan kepada projek tersebut.
Oleh itu, Lawas memerlukan sebuah lapangan terbang baharu yang lebih besar untuk memudahkan usaha menarik pelaburan ke kawasan utara Sarawak.
Mengenai pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan-kawasan pembangunan baharu di bawah RECODA, Abang Johari menyatakan bahawa program pembangunan di kawasan URDA, HDA dan NRDA adalah berdasarkan kehendak rakyat tempatan.
Pembangunan di kawasan ini berbentuk ‘bottom-up’ dan bukan ‘top-down’ dan merupakan kaedah ‘empowerment’ untuk memberi ruang kepada rakyat bertindak berdasarkan kehendak mereka.
RM1.5 bilion telah diperuntukan bagi setiap agensi seperti URDA, HDA dan NRDA bagi tempoh dua tahun untuk melaksanakan program pembangunan di kawasan tersebut, khususnya infrastruktur dan utiliti.
Seterusnya, pemerkasaan dalam bidang pendidikan juga perlu diberi penekanan serius melalui pembinaan sekolah antarabangsa.
Ini penting kerana kemampuan menguasai berbagai bahasa antarabangsa akan memudahkan anak-anak Sarawak meneruskan pengajian di luar negara.
“Dulu sekolah antarabangsa dikenali sebagai sekolah untuk anak-anak orang kaya dan elit.
Kini kita mahu anak-anak nelayan, petani dapat belajar di sekolah antarabangsa agar mereka mempunyai masa depan yang lebih baik dan mampu memenuhi keperluan tenaga kerja penting di Sarawak,” ujarnya.
Sarawak di bawah GPS tidak akan bangkrap sebaliknya banyak lagi hasil baru akan menjana ekonomi Sarawak untuk terus berkembang.
Kini dengan pematuhan pihak berkenaan dalam cukai jualan mampu memberi hasil yang besar dan dalam tempoh lima tahun kita memperoleh RM15 bilion.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkap Menteri Pembangunan Bandar & Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Sameon, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian & Pembangunan Usahawan, Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pemodenan Pertanian dan Tanah Adat Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia Dato Henry Sum Agong, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Haji Hasbi Habibollah, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan kenamaan lainnya.