Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • LDP: Jatuh dan bangun semula
  • KOLUMNIS

LDP: Jatuh dan bangun semula

Utusan Sarawak 5 hours ago

KEMENANGAN besar Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya umum Jepun 2026 di bawah pimpinan Perdana Menteri Sanae Takaichi menandakan satu lagi bab penting dalam sejarah panjang parti konservatif itu yang ditubuhkan lebih 70 tahun lalu.

Selepas puluhan parti LDP ditubuhkan, ia pernah dianggap parti yang sudah usang, tidak lagi popular dan pernah dianggap kurang mempunyai masa depan dalam landskap politik negara Jepun.

Kejutan perubahan

Apabila baru-baru ini dalam pilihan raya Jepun, LDP berjaya meraih 316 daripada 465 kerusi Dewan Rendah, LDP bukan sahaja memperoleh majoriti selesa, malah kembali mengukuhkan dominasi yang telah menjadi ciri politik Jepun sejak pertengahan abad ke-20.

Namun perjalanan LDP bukanlah garis lurus kejayaan. Ia adalah kisah jatuh bangun, krisis kepercayaan, penyesuaian ideologi dan kebangkitan semula melalui strategi politik yang terancang.

Parti Konservatif

LDP ditubuhkan pada 1955 hasil penggabungan dua parti konservatif utama Jepun.

Sejak itu, ia hampir sentiasa memerintah, mewujudkan apa yang sering digelar sebagai “Sistem 1955” sebagai suatu era dominasi satu parti dengan pembangkang yang lemah dan berpecah.

PERDANA Menteri Jepun, Sanae Takaichi, selaku pemimpin Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah, meletakkan sekuntum bunga ros kertas berwarna merah pada nama calon yang terpilih di ibu pejabat LDP pada hari pilihan raya umum di Tokyo, Jepun, 8 Februari 2026. Foto AFP

Ideologi asas LDP berteraskan konservatisme pragmatik pernah memberikan komitmen terhadap pakatan keselamatan dengan Amerika Syarikat, sokongan kepada ekonomi pasaran dengan campur tangan negara secara terpilih, serta penekanan kepada nilai tradisional dan kestabilan institusi seperti institusi maharaja.

Dalam dekad awalnya, LDP berjaya memimpin Jepun melalui pertumbuhan ekonomi luar biasa yang dikenali sebagai “keajaiban ekonomi Jepun”.

Dominasi lama

Namun dominasi lama membawa cabaran. Krisis ekonomi akibat gelembung aset yang pecah pada awal 1990-an menggugat keyakinan terhadap kepimpinan LDP.

Skandal rasuah dan amalan politik wang mencemarkan reputasi parti.

Pada 1993, buat pertama kalinya sejak penubuhannya, LDP kehilangan kuasa apabila gabungan pembangkang membentuk kerajaan.

Walaupun tempoh itu singkat dan LDP kembali berkuasa pada 1994, ia menjadi amaran bahawa parti itu tidak kebal daripada hukuman rakyat.

LDP banyak mengalami beberapa fasa jatuh bangun dalam sejarah politik pasca-perang.

Pada 1996, LDP membuat sedikit kemajuan tetapi masih kekurangan 12 kerusi untuk majoriti.

KEMUNCULAN Sanae Takaichi sebagai figura baharu yang membawa tenaga politik berbeza. Foto AFP

Kemuncak kejatuhan berlaku pada 2009 apabila LDP hanya memenangi 118 kerusi dan ini merupakan kekalahan paling buruk dalam sejarah moden Jepun dan hilang kuasa kepada Parti Demokratik Jepun yang memenangi pilihan raya umum dan menamatkan hampir lima dekad dominasi berterusan LDP.

Ketika itu, rakyat muak dengan ekonomi yang lesu, ketidaksamaan pendapatan, dan persepsi bahawa LDP terlalu selesa dengan birokrasi serta kepentingan korporat. Kekalahan 2009 adalah tamparan paling hebat dalam sejarah parti tersebut.

Pemulihan dan kebangkitan parti

Namun seperti banyak parti konservatif mapan di dunia, LDP menunjukkan keupayaan menyesuaikan diri.

Pada 2012, di bawah kepimpinan Shinzo Abe, parti itu bangkit semula dengan agenda ekonomi yang dikenali sebagai “Abenomics”, yang menggabungkan pelonggaran monetari agresif, rangsangan fiskal dan reformasi struktur.

Abe juga mengangkat agenda keselamatan nasional yang lebih tegas, termasuk mentafsir semula Artikel 9 Perlembagaan bagi membolehkan peranan pertahanan kolektif yang lebih luas.

Gabungan pemulihan ekonomi relatif dan naratif keselamatan berjaya mengembalikan LDP ke tampuk kuasa dengan majoriti kukuh.

Namun era pasca-Abe tidak bebas daripada masalah. Pengunduran Abe pada 2020 membuka fasa kepimpinan yang kurang stabil.

Yoshihide Suga dan kemudian Fumio Kishida berdepan pandemik COVID-19, kelembapan ekonomi serta beberapa skandal politik termasuk isu pembiayaan dan hubungan dengan kumpulan agama kontroversi.

PROSES pengundian pilihan raya Jepun baru-baru ini. Foto AFP

Sokongan terhadap LDP merosot dalam tinjauan pendapat, dan muncul persoalan sama ada parti itu mampu mengekalkan dominasi jangka panjang.

Dalam pilihan raya 2024, LDP sekali lagi merosot, memperoleh hanya 191 kerusi dan hilang majoriti buat kali pertama sejak 2009.

Kemunculan Sanae Takaichi

Di sinilah muncul Sanae Takaichi sebagai figura baharu yang membawa tenaga politik berbeza.

Sebagai pemimpin wanita pertama memegang jawatan perdana menteri dari LDP selepas bekerjasama, beliau mencerminkan kombinasi kesinambungan dan pembaharuan.

Ideologi Takaichi berakar pada konservatisme nasionalis, memperkukuh pertahanan, mempertahankan nilai tradisional, serta mengukuhkan pakatan dengan Amerika Syarikat.

Pada masa sama, beliau menawarkan janji dasar ekonomi yang bersifat responsif terhadap kebimbangan rakyat tentang kos sara hidup, termasuk cadangan penggantungan sementara cukai jualan makanan dan pelaburan besar dalam sektor strategik.

Pada Januari 2026 selepas tiga bulan beliau memerintah, Perdana Menteri Sanae Takaichi membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya mengejut.

Hasilnya, LDP mencatat kemenangan besar bersejarah dengan 316 kerusi, iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah pilihan raya Jepun.

Kemenangan ini dikaitkan dengan populariti tinggi Takaichi dan strategi kempen yang berkesan. Ia menandakan kebangkitan semula LDP sebagai kuasa dominan.

SALJI tebal menyelubungi Jepun ketika pilihan raya diadakan. Foto AFP

Landskap politik Jepun pada 2026 turut menyumbang kepada kebangkitan semula LDP. Pembangkang berpecah dan gagal membina alternatif yang meyakinkan.

Parti-parti liberal tidak berjaya menyatukan agenda ekonomi dan sosial yang jelas, manakala parti-parti populis kanan masih belum cukup matang untuk mencabar dominasi LDP secara nasional.

Dalam suasana ketegangan geopolitik dengan China dan kebimbangan tentang keselamatan serantau, naratif kepimpinan tegas yang dibawa Takaichi mendapat sambutan.

Struktur politik

Faktor struktur juga memainkan peranan. LDP mempunyai jaringan akar umbi yang kukuh di kawasan luar bandar, sokongan daripada perniagaan besar melalui hubungan tradisional dengan Keidanren, serta pengalaman pentadbiran yang panjang.

Dalam pilihan raya 2026, parti itu memanfaatkan jentera yang tersusun, pemilihan calon yang lebih berhati-hati, dan kempen yang menekankan kestabilan berbanding eksperimen politik.

Implikasi

Kemenangan 316 kerusi bukan sahaja memberikan majoriti mudah, malah menghampiri keupayaan untuk mempengaruhi pindaan perlembagaan jika disokong rakan sekutu.

Mandat ini memberi ruang kepada Takaichi untuk mempercepat agenda keselamatan, termasuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada sekitar dua peratus KDNK dan memperkukuh kerjasama dengan Amerika Syarikat, Australia dan Britain.

Dalam konteks ekonomi, LDP berdepan cabaran besar, iaitu hutang awam Jepun yang melebihi dua kali ganda KDNK memerlukan pengurusan fiskal berhati-hati.

Selaras untuk bergerak ke hadapan, pergerakan LDP sebagai parti politik akan ditentukan oleh keupayaannya mengimbangi tiga tuntutan utama.

Pertama, mengekalkan sokongan konservatif tanpa mengasingkan pengundi sederhana bandar yang lebih liberal dalam isu sosial.

Kedua, memperkukuh keselamatan nasional tanpa menjejaskan hubungan ekonomi dengan China yang kekal sebagai rakan dagang penting.

Ketiga, melaksanakan reformasi ekonomi dan sosial bagi menangani penuaan penduduk, kekurangan tenaga kerja dan ketidaksamaan pendapatan.

LDP juga kini memikirkan pembaharuan dalaman jangka panjang. Parti yang terlalu lama berkuasa mudah terjebak dalam budaya selesa dan politik berpuak-puak.

Maka parti ini perlu mengukuhkan ketelusan pembiayaan politik, memberi ruang lebih besar kepada generasi muda dan wanita dalam kepimpinan, serta memperbaiki komunikasi digital akan menjadi kunci untuk mengekalkan relevansi.

Rumusan

Sejarah LDP menunjukkan bahawa kekuatannya bukan sekadar pada ideologi, tetapi pada pragmatisme dan keupayaan menyesuaikan diri dengan realiti politik.

Dari kejatuhan 1993 dan 2009 hingga kebangkitan 2012 dan 2026, parti ini berulang kali membuktikan bahawa ia mampu membaca arus rakyat dan mengolah semula naratif dan mesej politik kepada rakyat Jepun.

Kemenangan terbaharu di bawah Takaichi bukan penamat perjalanan, tetapi permulaan fasa baharu.

Jika LDP berjaya menggunakan mandat besar ini untuk mentadbir dengan berhemah, mengimbangi nasionalisme dengan diplomasi, dan memacu reformasi ekonomi yang inklusif, ia berpotensi mengekalkan kedudukannya sebagai paksi utama politik Jepun.

Namun jika ia gagal mengurus kuasa dengan tanggungjawab, sejarah menunjukkan rakyat Jepun tidak teragak-agak untuk menghukum.

Dalam politik, dominasi lama bukan jaminan kekal dan yang kekal hanyalah keperluan untuk berubah.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau  ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan kini ialah Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Sejarah awal minyak, OMO di Sarawak menurut Arkib Nasional di London

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.