

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak meneruskan tradisi menghargai jasa petugas barisan hadapan dengan menyediakan sebanyak 12,000 pek makanan Sumbangsih bersempena tiga perayaan utama tahun ini iaitu Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Gawai Dayak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata inisiatif tersebut merupakan manifestasi penghargaan kerajaan negeri dan rakyat Sarawak terhadap anggota agensi penguat kuasa serta keselamatan yang terus komited menjalankan tugas ketika musim perayaan.
Menurut beliau, pendekatan tahun ini berbeza apabila Sumbangsih diperluas kepada tiga perayaan utama selaras dengan dasar keterangkuman yang ditekankan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Pengorbanan mereka memastikan rakyat dapat menyambut Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Gawai Dayak dalam suasana aman dan selamat. Kita mungkin menganggap keamanan ini sesuatu yang biasa, tetapi ia terhasil daripada komitmen berterusan pasukan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pembungkusan Pek Sumbangsih Tahun Baharu Cina 2026 yang diadakan di Wisma Wanita, hari ini.
Pada majlis tersebut, sebanyak 4,000 pek makanan termasuk makanan sedia dimakan (retort) dibungkus oleh kakitangan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bersama wakil agensi terlibat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Baki pek sumbangsih akan diagihkan secara berperingkat kepada 11 agensi penerima menjadikan jumlah keseluruhan tiga kali ganda berbanding pelaksanaan terdahulu. Agensi melibatkan anggota yang bertugas ketika musim perayaan.
Dalam perkembangan sama, majlis simbolik penyerahan sumbangsih akan diadakan di pejabat baharu Premier Sarawak di Satria Pertiwi dan disempurnakan oleh Premier Sarawak kepada wakil 11 agensi terlibat.



Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, serta Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga, Salmah Jobli.
Oleh Shikin Mahmud