Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Realisme Magis Borgesian dalam Cerpen “Mesyuarat Ini Akan Diteruskan”
  • WBS

Realisme Magis Borgesian dalam Cerpen “Mesyuarat Ini Akan Diteruskan”

Utusan Sarawak 7 hours ago

MEMBACA cerpen “Mesyuarat Ini Akan Diteruskan” membawa satu dimensi yang berbeza berbanding karya Benjamin Asin yang terdahulu sehingga menampakkan satu lonjakan yang sangat ketara.

Tentunya perkara ini satu petanda yang baik jikalau penulis mengerah keupayaan kreatifnya untuk menghasilkan karya tersebut yang sememangnya layak untuk bersaing dengan karya penulis yang telah mapan.

Walau bagaimanapun ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh penulis pada masa akan datang untuk berdiri dengan langgam atau acuan gaya yang tersendiri.

Jikalau cerpen ini dibaca dengan pendekatan struktural yang diketengahkan oleh salah seorang tokohnya, iaitu Tzvetan Todorov yang menekankan hubungan antara peristiwa, watak, masa dan ruang sehingga membentuk model naratif berdasarkan peralihan keadaan (state of equilibrium), ternyata cerpen ini sengaja memanipulasi dan menyimpang daripada model berkenaan dengan menghasilkan naratif kitaran tanpa keseimbangan muktamad sekali gus mengukuhkan tema kesedaran, pilihan dan sistem tertutup yang menjadi teras cerpen ini.

Jikalau ditinjau daripada kerangka Todorov, naratif lazimnya bermula dengan satu keadaan stabil. Namun, perkara itu tidak ditonjolkan melalui cerpen ini yang dimulakan dengan ketiadaan keseimbangan yang jelas seperti yang diolah oleh pengarang:

“Seorang lelaki tanpa nama dijemput menghadiri mesyuarat di sebuah bilik yang tiada pintu. Dia tidak ingat bagaimana dia masuk.”

Secara struktural, bahagian awal ini telah melakukan penyimpangan daripada model Todorov. Tiada gambaran kehidupan “normal”. Sebaliknya, naratif bermula di dalam sistem yang sudah terganggu.

Ketidaktentuan dalam cerpen ini bukan gangguan sementara tetapi keadaan asal (default state). Dari sudut strukturalisme Todorov, situasi ini boleh ditafsirkan sebagai keseimbangan awal yang telah dipadam atau keseimbangan yang tidak pernah wujud secara naratif.

Perkara ini perlu ditekankan untuk menunjukkan bahawa cerita ini tidak menuju pemulihan tradisional tetapi pendedahan struktur yang mengurung watak.

Pelanggaran yang dilakukan dengan sengaja oleh pengarang menyebabkan cerpen ini lebih tepat jikalau diteliti dengan pendekatan Realisme Magis yang bukan sekadar teknik untuk memperkenalkan unsur ganjil atau luar biasa ke dalam teks naratif, malahan sebagai cara melihat realiti.

Teknik ini menjadi suatu epistemologi sastera yang mengaburkan sempadan antara yang rasional dengan yang tidak dapat dijelaskan, antara sejarah peribadi dengan metafizik atau antara pengalaman harian dengan dimensi kosmik.

Antara kelebihan karya ini adalah apabila pengarang tidak bergantung pada magis yang bersifat mistik tradisional semata-mata, tetapi memanfaatkan struktur birokrasi, bahasa sains, dokumen, transkrip dan eksperimen untuk membentuk sebuah dunia yang kelihatan rasional, namun sebenarnya sarat dengan keganjilan ontologis. Realisme magisnya beroperasi dalam ruang kesedaran moden, bukan dunia mitos lampau.

Penekanan masih kepada permulaan cerpen ini yang cemerlang terutama tatkala dihasilkan oleh penulis muda. Cerita bermula dengan situasi yang jelas tidak logik: seorang lelaki tanpa nama menghadiri mesyuarat di sebuah bilik yang tiada pintu dan tidak mengingati bagaimana dia masuk ke dalamnya.

Namun, kejanggalan ini tidak perlu dipersoalkan secara dramatik. Watak “aku” menerima keadaan tersebut sebagai suatu realiti fungsional. Bilik mesyuarat itu bukan sekadar ruang fizikal tetapi ruang kesedaran yang juga merupakan ruang peralihan antara hidup dengan mati.

Ruang itu berfungsi seperti Macondo dalam One Hundred Years of Solitude; sebuah tempat yang mematuhi logiknya sendiri yang bukan merujuk kepada kelogikan dunia luar.

Keputusan pengarang menjadikan bilik itu tanpa pintu sangat signifikan. Dalam kerangka realisme magis, ketiadaan pintu melambangkan ketiadaan akses rasional: manusia tidak “masuk” ke ruang kesedaran ini melalui tindakan sedar tetapi melalui pengalaman wujud (existential experience).

Dalam cerpen ini, pengarang ada menerangkan tentang sembilan versi diri protagonis – semuanya berwajah sama tetapi berlainan usia – yang menjadi unsur magis paling kuat dalam cerpen ini.

Gambaran tersebut bukan merincikan simbol psikologi sahaja, tetapi turut mencapah ke ruang entiti ontologis yang benar-benar wujud dalam dunia cerita.

Setiap versi diri dalam cerpen berkenaan membawa fail berbeza: surat yang tidak dihantar, hutang lama, impian memiliki banglo dan dokumen-dokumen yang tidak pernah disedari kewujudannya.

Fail-fail ini bukan metafora abstrak semata-mata, tetapi objek material yang mempengaruhi jalan cerita. Realisme magis berfungsi apabila simbol tidak lagi “sekadar simbol” tetapi menjadi sebahagian daripada realiti naratif.

Fail kosong yang diberikan kepada protagonis menjadi pusat graviti magis yang bukannya merujuk kepada sesuatu yang tidak wujud tetapi lebih melihat kepada potensi. Dalam penghasilan karya berbentuk realisme magis. kekosongan dilihat sebagai ruang kemungkinan dan bukannya nihilisme atau kehampaan.

Dalam cerpen ini, mata dan mulut protagonis boleh hilang dan kembali semula. Kejadian ini bergantung kepada tahap kesedaran dan penulisan. Tubuh manusia sering dijadikan tapak pertembungan antara dunia nyata dengan dunia magis.

Kehilangan mata tetapi masih “melihat” telah mencabar epistemologi Barat yang bergantung pada deria fizikal. Protagonis tidak melihat melalui organ tetapi memahaminya melalui kesedaran.

Prinsip realisme magis telah mengiktiraf bentuk pengetahuan alternatif yang merujuk kepada intuisi, ingatan dan pengalaman batin sebagai sesuatu yang dibolehkan.

Apabila protagonis mula menulis detik-detik kecil hidupnya, matanya kembali wujud. Pengarang ingin menunjukkan bahawa penulisan dan kesedaran saling membentuk realiti. Dunia tidak berubah kerana sihir tetapi kerana tindakan reflektif yang kelihatan biasa, iaitu dengan menulis.

Antara penerapan elemen magis dalam cerpen berkenaan adalah dari aspek pemanipulasian masa. Masa digambarkan tidak bergerak secara linear tetapi berkitar.

Watak terperangkap dalam “Ruang Keputusan” selama 5001 kitaran masa yang subjektif. Angka ini tidak dijelaskan dan tidak perlu dijelaskan kerana ‘ketidaklogikan’ juga akan diterima sebagai fakta.

Masa yang bersifat subjektif ini bertembung dengan masa objektif di hospital di apabila mesin bantuan hayat masih berfungsi walaupun bekalan elektrik terputus. Peristiwa ini tidak dirasionalisasikan; hanya dilaporkan sebagai nota lapangan seolah-olah fenomena magis boleh direkodkan secara birokratik.

Pengarang juga telah cuba memecahkan dinding realiti melalui paparan naratif yang dicipta. Apabila fail kosong akhirnya muncul di tangan pembaca, cerpen ini melangkah ke tahap realisme magis yang lebih radikal.

Pengarang telah melibatkan  pembaca untuk menjadi sebahagian daripada dunia cerita. Dengan menggunakan teknik pascamoden, pengarang telah cuba memperluas logik realisme magis.

Pembaca tidak lagi menjadi pemerhati pasif tetapi “Pengerusi Berpotensi”. Ini mengingatkan kita bahawa realisme magis sering berfungsi untuk mengganggu rasa selamat pembaca dan memaksa mereka menyedari bahawa realiti sendiri ialah konstruksi yang rapuh.

Antara kekuatan pengarang dalam menghasilkan karya ini adalah dari aspek pemilihan tema. Tema utama cerpen ini: dunia dibentuk oleh pilihan kecil yang sering diabaikan.

Tentunya ini selari dengan etika realisme magis. Berbeza dengan naratif heroik yang menekankan keputusan besar, realisme magis meraikan perkara yang kecil atau yang dianggap remeh.

Detik gadis di stesen bas, kopi yang ditolak dan kata maaf yang tidak diucapkan bukan merujuk kepada nostalgia sentimental tetapi sebagai kuasa pembentuk realiti. Magisnya terletak pada kesedaran, bukan peristiwa luar biasa.

Ternyata cerpen ini berjaya mengadaptasi tradisi genre realisme magis ke dalam konteks moden – wujudnya hospital, birokrasi pentadbiran, eksperimen dan pembaca itu sendiri.

Karya ini tidak menawarkan jawapan muktamad, sebaliknya mengekalkan ketegangan antara sedar dengan tidak sedar. Hakikat dalam karya realisme magis: karya berkenaan tidak membebaskan pembaca daripada realiti tetapi memaksa pembaca melihat realiti dengan mata yang lebih jujur. Keajaiban bukan berlaku di luar dunia, tetapi tersembunyi dalam cara kita mengingatinya.

Lonjakan prestasi dalam penghasilan karya oleh Benjamin Asin juga merupakan magis yang tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Dari mana pengarang mendapat kekuatan?

Menapak anak tangga satu demi satu ialah kebiasaan namun apabila seseorang menapak dengan sepuluh anak tangga sekali gus, itulah magis yang berlaku kepada pengarang sendiri.

Walau bagaimanapun, biarpun karya ini merupakan karya yang sangat menarik,  terdapat juga beberapa kelemahan yang dikesan untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

Antara kelemahan utama dalam cerpen ini ialah beban konseptual yang sangat padat. Dalam satu teks yang relatif pendek, cerpen ini cuba menggabungkanrealisme magis ontologis,metafiksi,struktur kitaran,eksperimen kesedaran,kritikan tentang sistem,falsafah pilihan dan keterlibatan pembaca menjadi sebahagian daripada naratif cerpen.

Dari sudut pembacaan struktural: semuanya cuba dihumban oleh pengarang sehingga idea besar itu bersesak dalam ruang yang kecil. Perkara ini akan menyebabkan pembaca berasa terbeban, selain menuntut kesabaran yang tinggi untuk membaca secara perlahan dan berulang.

Cerpen ini juga kurang menekankan aspek emosi kemanusiaan berbanding struktur. Contohnya, cerpen ini ada menyentuh tentang situasi keluarga di hospital  termasuk keputusan antara hidup dengan mati, dan juga kenangan sewaktu kecil yang diabaikan.

Paparan yang diolah oleh pengarang lebih kepada struktur yang diolah dari aspek luaran sahaja sehingga menyisihkan pengalaman kejiwaan yang mendalam.

Watak ibu, ayah dan anak dalam cerpen ini tidak benar-benar berkembang pada subjek emosinya. Watak-watak ini hadir hanya untuk menghapuskan dilema kesedaran watak utama yang tidak disertakan dengan peranan yang tidak kurang pentingnya, iaitu untuk menggugah emosi pembaca.

Situasi ini menyebabkan cerpen ini hanya kukuh dari aspek intelektual, tetapi tiada keseimbangan dari aspek jiwa. Pembaca kurang merasai teks berkenaan sehingga boleh menyebabkan pembacaan menjadi hambar atau terlalu ilmiah.

Dari sudut teori naratif, hampir semua watak dalam cerpen ini ialah watak berfungsi (functional characters) seperti lelaki tanpa nama yang menjadi subjek kesedaran, versi diri  yang merujuk kemungkinan hidup, suara A/B/C/D yang mengetengahkan tentang sistem dan kehadiran pembaca dalam karya merujuk kepada  kesinambungan struktur. Watak-watak ini tidak mengalami perkembangan psikologi konvensional. Natijahnya, watak sukar untuk “diingati” sebagai individu. Cerpen ini juga tidak memberi ruang kepada empati watak secara tradisional.

Keadaan ini menjadikan karya ini lebih dekat dengan alegori falsafah berbanding dengan realisme sosial atau psikologi. Peranan yang perlu dimainkan oleh pengarang ialah menyeimbangkan semua elemen ini agar karya ini lebih seimbang.

Sememangnya diakui, cerpen ini sangat kaya dengan simbol seperti fail kosong, meja bulat, cermin, pintu, pen, transkrip dan suara tanpa tubuh. Namun, simbol-simbol ini muncul terlalu hampir tanpa diselang-seli dengan naratif ringan.

Akhirnya simbol menjadi terlalu dominan dan naratif menjadi rangka teori yang bergerak bukan berdasarkan pengalaman hidup.

Kelemahan yang paling ketara adalah apabila suara Borges begitu kuat gemanya dan mengiringi hampir keseluruhan cerpen berkenaan. Antara persamaan utama dengan Borges adalah penggunaan ruang metafizik yang minimum tetapi mutlak.

Borges sering menggunakan perpustakaan, cermin, lorong atau jalan berliku dan juga buku yang tidak berpenghujung. Dalam cerpen “Mesyuarat Ini Akan Diteruskan” ini ada penggunaan simbol meja bulat, fail kosong, bilik tanpa pintu yang berfungsi dengan cara yang sama, iaitu ruang kecil yang tertutup tetapi mengandungi seluruh kosmos kesedaran.

Antara pengaruh lain Borges dalam cerpen ini adalah dari aspek identiti berlapis dan diri yang berganda. Borges obses dengan versi diri, masa bercabang dan identiti yang saling bergantian antara satu sama lain.

Sembilan versi diri protagonis mempunyaipengaruh yang kuat denganThe Garden of Forking Paths, The Other dan The Circular Ruins.

Metafiksi senyap dalam cerpen berkenaan apabila fail kosong yang akhirnya berada di tangan pembaca, bukan merupakan gimik pascamoden tetapi merupakan falsafah yang mengkaji hakikat kewujudan, realiti dan asas benda wujud yang selari dengan pemikiran Borges: teks sedar ia sedang dibaca, tetapi tidak meraung tentangnya.

Walau bagaimanapun, persamaan ini hanya bersifat adaptif, bukan imitasi. Pengaruh luar tidak dapat dielakkan terutama tatkala ruang masa antara pembacaan dengan penulisan tidak terlalu berjarak.

Umpamanya, ramai penulis mapan yang ingin menulis seperti Haruki Murakami. Ada yang ingin menulis seperti Kafka atau Gabriel Garcia Marquez. Di sinilah perlunya kebijakan pengarang untuk memisahkan dirinya daripada pengaruh penulis kegemarannya.

Antara cadangan yang boleh dipraktikkan oleh pengarang ialah menggabungkan gaya tersebut dengan elemen tempatan agar mampu menonjolkan kelebihan latar dan budaya setempat.

Secara jujur dan seimbang, kelemahan cerpen ini bukan kerana kegagalan teknikal, tetapi kerana pilihan estetik yang berani yang dipilih oleh pengarang.

Kelemahan seperti terlalu padat secara intelektual, kurang mesra emosi kepada pembaca, watak yang tidak berakar dalam realisme psikologi dan pengakhiran yang menolak kepuasan naratif konvensional boleh menukarnya menjadi kekuatan atau kelebihan karya berkenaan.

Cerpen ini kuat dari aspek eksperimentalnya sehingga berbeza daripada cerpen arus perdana yang lain apabila pengarang lari daripada kebiasaan.

Ternyata cerpen “Mesyuarat Ini Akan Diteruskan” ialah cerpen yang berfungsi sebagai mesin kesedaran bukan sekadar dari aspek naratif. Cerpen ini bukan mengajak pembaca untuk mencari jawapan, tetapi untuk menyedari bahawa sistem pilihan, identiti dan realiti itu sendiri bersifat kitaran yang rapuh.

Cerpen ini berjaya sebagai karya realisme magis kontemporari, pascaklasik secara naratif dan berani secara intelektual walaupun dengan harga kebolehcapaian emosi dan kesederhanaan cerita.

Untuk Benjamin Asin – bukan hanya cerpen “Mesyuarat Ini Akan Diteruskan”,penghasilan karya yang baik termasuk penambahbaikan yang disarankan perlu diteruskan untuk anda menjadi penulis yang disegani suatu hari nanti.

Oleh Abang Median Abang Said

Continue Reading

Previous: Puisi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.