
KUCHING: Kerajaan Sarawak menasihatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada proses kehakiman dan tidak membuat sebarang andaian berhubung kes penalti berjumlah RM120 juta yang melibatkan lima anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata kes berkenaan masih dalam pertimbangan mahkamah dan sebarang komen awam yang tidak berasas boleh menjejaskan kelancaran proses perundangan.
Menurut beliau, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati sepenuhnya bagi memastikan keadilan dapat dilaksanakan tanpa tekanan atau campur tangan luar.

“Biarlah mahkamah meneliti dan membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang. Keputusan itu nanti akan menentukan tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyampaian sumbangan Biro Wanita Saberkas kepada penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching di Batu 12, di sini, hari ini.
Kes tersebut membabitkan lima anak syarikat Petroliam Nasional Berhad, iaitu Malaysia LNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd, Petronas Carigali Sdn Bhd, Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd dan Petronas LNG 9 Sdn Bhd, yang didakwa beroperasi tanpa lesen sah di Sarawak seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Difahamkan, sebanyak lapan notis kesalahan telah dikeluarkan dengan setiap entiti dikenakan penalti RM15 juta, walaupun ordinan berkenaan membenarkan denda maksimum sehingga RM20 juta bagi setiap kes.

Pada Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching menetapkan 2 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes selepas mendapati wujud beberapa isu yang memerlukan penghujahan lanjut.
Mengulas hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah menegaskan ia kekal kukuh meskipun terdapat perbezaan pandangan dalam isu tertentu.
“Perbezaan pendirian adalah perkara biasa dalam pentadbiran. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak terus mengamalkan pendekatan rasional dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan mahkamah kelak bukan sahaja memberi kesan dari sudut kewangan, malah menjadi penanda aras penting terhadap tadbir urus undang-undang serta keyakinan pelabur di negeri ini.