Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Sarawak Energy terima pengiktirafan kecemerlangan alam sekitar pada PMHA 2024/2025
  • NASIONAL

Sarawak Energy terima pengiktirafan kecemerlangan alam sekitar pada PMHA 2024/2025

Utusan Sarawak 9 hours ago
LOJI Hidroelektrik Bakun menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Prestasi Alam Sekitar pada Anugerah Hibiscus Perdana Menteri (PMHA) 2024/2025 yang disampaikan oleh Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, kepada Pengurus Stesen Bakun HEP, Encharang Ngtingih.

KUALA LUMPUR: Sarawak Energy Berhad terus membuktikan komitmennya terhadap pengurusan alam sekitar dan amalan pembangunan mampan apabila menerima pengiktirafan pada Anugerah Hibiscus Perdana Menteri (PMHA) 2024/2025 iaitu anugerah alam sekitar tertinggi negara bagi sektor perniagaan dan industri.

Pada majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 27 Januari lalu, Loji Hidroelektrik Bakun (Bakun HEP) menerima Anugerah Pencapaian Cemerlang dalam Prestasi Alam Sekitar.

Turut menerima pengiktirafan ialah Loji Hidroelektrik Murum (Murum HEP) dan Sejingkat Power Corporation (SPC) (Perbadanan Janakuasa Sejingkat) masing-masing dianugerahkan Anugerah Pencapaian Luar Biasa dalam Prestasi Alam Sekitar, manakala Mukah Power Generation (MPG) (Penjanaan Kuasa Mukah) memperoleh Anugerah Pencapaian Terpuji dalam Prestasi Alam Sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh pengurusan alam sekitar serta pelaksanaan amalan mampan merentas semua operasi.

DELEGASI Sarawak Energy Berhad yang diketuai Naib Presiden Hidro, Jonny Wong (ketujuh dari kanan), hadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Hibiscus Perdana Menteri (PMHA) 2024/2025 di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, komitmen itu disokong oleh rangka kerja tadbir urus yang berstruktur serta program alam sekitar di peringkat korporat, termasuk inisiatif ekonomi kitaran, kempen ‘Go Green’ dan aktiviti pemuliharaan biodiversiti yang menjadi panduan dalam perancangan, pembangunan dan pengoperasian kemudahan Sarawak Energy.

“Sarawak Energy juga merupakan badan korporat pertama di Malaysia yang menyatakan komitmen terhadap ikrar Business Ambition for 1.5°C (Ikrar Aspirasi Perniagaan bagi Mengehadkan Peningkatan Suhu Global kepada 1.5 Darjah Celsius) di bawah United Nations Global Compact Network (Rangkaian Perjanjian Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), selaras dengan usaha mengehadkan peningkatan suhu global serta menyokong tindakan iklim jangka panjang.

“Amalan ini sejajar dengan keutamaan kerajaan Sarawak dalam pembangunan mampan, perlindungan alam sekitar dan pertumbuhan inklusif di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030),” katanya.

Majlis penyampaian anugerah itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Sarawak Energy diwakili oleh delegasi yang diketuai Naib Presiden Hidro, Jonny Wong.

PRESTASI kemampanan Loji Hidroelektrik Bakun terus diperkukuh menerusi Pensijilan Perak di bawah Standard Kelestarian Hidroelektrik serta penerimaan Anugerah IHA Blue Planet Prize pada 2025.

PMHA yang diperkenalkan pada 1996 berfungsi sebagai penanda aras nasional bagi organisasi menilai, memperkukuh dan mempamerkan prestasi alam sekitar masing-masing.

Anugerah ini dianjurkan bersama oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) serta Persatuan Pengurusan dan Penyelidikan Alam Sekitar Malaysia (ENSEARCH) dengan sokongan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Jabatan Alam Sekitar.

Edisi PMHA 2024/2025 menyaksikan penyertaan 81 syarikat daripada pelbagai sektor termasuk tenaga, pembuatan, pembinaan, minyak dan gas, hospitaliti serta perladangan kelapa sawit.

Pengiktirafan yang diterima Sarawak Energy itu turut menyusuli pencapaian antarabangsa Loji Hidroelektrik Bakun yang menerima Pensijilan Perak di bawah Piawaian Kelestarian Tenaga Hidro, sekali gus menonjolkan prestasi cemerlang dalam aspek penglibatan komuniti, pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan tadbir urus.

Pada September 2025, Bakun HEP turut dianugerahkan IHA Blue Planet Prize (Anugerah Planet Biru IHA) oleh International Hydropower Association (IHA) (Persatuan Hidroelektrik Antarabangsa), yang mengiktiraf projek hidroelektrik berprestasi terbaik dari segi kemampanan berdasarkan penilaian antara Julai 2023 hingga Jun 2025.

Sarawak Energy menyasarkan semua loji hidroelektriknya diperakui di bawah piawaian antarabangsa menjelang 2030 dan kekal sebagai ahli aktif International Hydropower Association (IHA) (Persatuan Hidroelektrik Antarabangsa) sejak 2010.

Sebagai pemaju tenaga boleh baharu terbesar negara dan penaung global pertama Asia Tenggara bagi World Energy Council (Majlis Tenaga Dunia) Sarawak Energy terus menyokong usaha peralihan tenaga global serta menyumbang pandangan berkaitan dasar tenaga, inovasi dan kelestarian.

Continue Reading

Previous: 4,025 majikan, 51,363 pekerja sertai dasar gaji progresif sehingga 31 Disember 2025
Next: Kerajaan komited teruskan rundingan MA63 – Mustapha Sakmud

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.