
MIRI: Bandar raya ini kini mempunyai satu lagi tarikan rekreasi mesra keluarga apabila pengalaman bot kayuh itik kuning dilancarkan secara rasmi di Tasik Taman Bulatan, di sini hari ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang dengan kehadiran Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Adam berkata, pelancaran itu bukan sekadar memperkenalkan aktiviti rekreasi air baharu, sebaliknya mencerminkan usaha mentransformasikan tasik-tasik taman awam menjadi ruang komuniti yang lebih hidup, inklusif dan selamat untuk semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, konsep bot kayuh berbentuk itik berwarna kuning yang ceria dan mudah dikenali itu mampu menambah identiti serta daya tarikan visual kepada Taman Bulatan sekali gus mengukuhkan imej Miri sebagai destinasi pelancongan yang mesra dan berdaya huni.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi bandar raya untuk berkembang sebagai bandar hijau dan berteraskan rakyat, di samping menyediakan kemudahan rekreasi sihat kepada keluarga dan pengunjung,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Adam menggalakkan orang ramai dan pelancong untuk mencuba sendiri pengalaman tersebut serta memanfaatkan keindahan tasik di Taman Bulatan sebagai lokasi riadah dan santai.
Oleh Liong Chai Ling