
MARUDI: Seramai 250 Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu dan DUN Marudi menghadiri program Townhall yang diadakan di sebuah restoran di sini, hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek), Datuk Gerawat Gala, dalam ucapan perasmiannya berkata, pendekatan Townhall merupakan kaedah yang progresif dan berkesan dalam memperkasakan peranan KMKK.
“Program ini bukan sahaja membuka ruang komunikasi dua hala, tetapi juga memberi peluang untuk bertanya, berbincang dan menyuarakan pandangan secara terus,” katanya.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pejabat Residen Miri dan Pejabat Daerah Marudi atas inisiatif menganjurkan program tersebut.

Gerawat berkata, melalui sesi perkongsian bersama Residen dan Pegawai Daerah (R&DO), KMKK serta AJK JKKK diberi pendedahan tentang tanggungjawab, tatacara pengurusan dan pentadbiran yang lebih cekap dan efisien berdasarkan garis panduan terkini.
“Saya juga difahamkan terdapat sesi khas berkaitan integriti, yang merupakan nilai penting dalam kepimpinan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, banyak isu rasuah dan salah guna kuasa, sama ada dalam sektor awam atau swasta, berpunca daripada kegagalan memelihara amanah. Kepimpinan tanpa integriti akan melemahkan sistem dan meruntuhkan kepercayaan rakyat.
“Sebagai pemimpin akar umbi, KMKK mesti menjadi contoh. Integriti bukan sahaja tentang tidak mengambil yang bukan hak kita, tetapi juga meliputi kejujuran dalam membuat keputusan, ketelusan dalam pengurusan kewangan, dan keberanian menegakkan kebenaran,” katanya.
Selain itu, Gerawat menekankan beberapa ciri penting seorang KMKK, termasuk integriti, nilai moral yang tinggi dan keperibadian mulia, kerana mereka dijodohkan untuk rakyat. Beliau berharap KMKK tidak meminggirkan mana-mana golongan, sebaliknya berorientasikan hasil dan kemajuan serta prihatin terhadap masyarakat.
Katanya, semangat berpasukan perlu diterapkan dalam sanubari semua KMKK kerana seorang pemimpin yang baik bukan sahaja memegang jawatan tetapi memberi impak positif kepada masyarakat.
Gerawat turut memuji usaha kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mengiktiraf peranan KMKK dalam pentadbiran adat, pembangunan dan perpaduan masyarakat. Sebagai bukti penghargaan, kerajaan telah meluluskan kenaikan elaun bulanan sebanyak RM400 kepada semua KMKK, berkuat kuasa Januari 2026.
Beliau juga berharap ketulusan KMKK dan JKKK dapat ditunjukkan dalam pengurusan kewangan projek MRP dan RTP yang disalurkan ke akaun JKKK.
Turut hadir pada program itu ialah Residen Bahagian Miri, Galong Luang; Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward; dan Pegawai Penguasa Jabatan Kebajikan Marudi, Sema Lait.
Oleh Jiku Juguong