
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini memperingati keberanian serta semangat juang pahlawan Sarawak, Sharif Mashor, dengan menamakan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) ketiga negara sempena namanya, dan berjaya melancarkan kapal berkenaan di Limbungan Kapal Tentera Laut Lumut.
Upacara penamaan dan pelancaran rasmi disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, yang turut menampilkan demonstrasi simbolik Mesin Order Telegraph (EOT).

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pehin Sri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain serta Ketua Pegawai Eksekutif Limbungan Kapal Tentera Laut Lumut Ir Azhar Jumaat.
Membacakan ucapan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Adly berkata, penamaan kapal berkenaan sempena pahlawan agung dari Sarawak itu merupakan satu penghormatan yang amat bertepatan dengan keperibadian unggul beliau.
“Pada asalnya pemerintah Sarikei yang menguasai Batang Rejang, Sharif Mashor dipercayai berasal dari Igan dan telah berkahwin dengan adik kepada Pengiran Nipa.

“Sebagai seorang pahlawan yang terkenal dengan semangat patriotisme yang tinggi, beliau pernah merancang untuk menentang pentadbiran Brooke,” katanya.
Beliau menambah, penamaan kapal itu bersempena Sharif Mashor mencerminkan keupayaannya serta menjadi simbol kekuatan TLDM dan komitmen Angkatan Tentera Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Pembinaan kapal itu bermula dengan upacara peletakan lunas pada 29 November 2017 dan dilancarkan secara teknikal di limbungan kapal tentera laut pada 31 Januari, sebelum menjalani ujian serta penambahbaikan sistem.
Sementara itu, Kapal Tempur Pesisir pertama, ‘Maharaja Lela’, telah menamatkan ujian pelayaran sulungnya pada 28 Januari 2026, manakala kapal kedua yang dinamakan ‘Raja Muda Nala’ telah dilancarkan dan dinamakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, pada 3 Julai 2025.
-Bernama