



BOGOTA (Colombia): Sekurang-kurangnya 14 maut manakala lebih 120,000 penduduk kehilangan tempat tinggal atau terjejas akibat banjir dan tanah runtuh yang memusnahkan wilayah Cordoba, La Guajira, Sucre, Magdalena, Choco dan Antioquia di utara Colombia, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ini berikutan krisis iklim yang teruk melanda utara negara itu apabila taburan hujan luar biasa — yang memecahkan rekod bagi Februari — telah mencetuskan kecemasan kemanusiaan.
Skala bencana itu disifatkan sebagai belum pernah berlaku bagi tempoh ini dalam setahun. Pengarah Unit Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (UNGRD) Carlos Carrillo berkata taburan hujan di Cordoba melonjak sebanyak 1,600 peratus.
“Paras air seperti ini tidak pernah direkodkan pada Februari, yang lazimnya merupakan bulan paling kering di wilayah ini,” kata Carrillo, sambil menambah bahawa lebih 40,000 hektar tanah kini ditenggelami air.
“Ini jelas satu krisis iklim — satu kejadian luar biasa,” katanya.
Kemusnahan berlaku secara meluas, dengan infrastruktur tempatan serta sistem kesihatan berada pada tahap kritikal.

Gabenor Cordoba Erasmo Zuleta mengesahkan bahawa 80 peratus wilayah itu kini ditenggelami air. Seluruh kawasan perumahan dinaiki air sehingga ke paras bumbung, manakala laluan akses utama terputus.
Di La Guajira dan Magdalena, hujan berterusan melebihi 12 jam menyebabkan sungai melimpah dan melumpuhkan pergerakan.
Mangsa di pusat penempatan sementara yang sesak melaporkan peningkatan kes masalah gastrousus, jangkitan pernafasan dan gejala seperti selesema, diburukkan lagi oleh kekurangan air bersih dan sanitasi.
Bekalan keperluan asas termasuk makanan, tilam dan barangan kebersihan asas berada pada tahap kritikal apabila pusat penempatan sementara mencapai kapasiti penuh.
Susulan bencana yang semakin buruk, Presiden Gustavo Petro dan barisan Kabinetnya dijadualkan bermesyuarat di Monteria pada Isnin.
Kerajaan sedang mempertimbangkan pengisytiharan darurat ekonomi bagi mempercepat penyaluran dana dan sumber bantuan.
Menurut Institut Hidrologi, Meteorologi dan Kajian Alam Sekitar (IDEAM), bencana itu didorong oleh kemasukan perenggan sejuk luar biasa dari Laut Caribbean.
Dengan hujan dijangka berterusan di wilayah utara, tengah dan barat negara itu, IDEAM mengekalkan amaran tahap kuning dan merah, sambil memberi amaran risiko banjir dan tanah runtuh di sekurang-kurangnya 16 wilayah. – Bernama-Anadolu