AHMEDABAD: Pasukan penyelamat terus berusaha menyelongkar sebuah pusat pelupusan terbesar di sini bagi mencari seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang dipercayai sudah tiga hari terperangkap di bawah timbunan sampah.
Timbunan tinggi sampah di barat India itu dipercayai runtuh petang Sabtu lalu, mengakibatkan Neha Vasava dan seorang lagi kanak-kanak lelaki, Anil Marwadi, 6, tertimbus di bawah sampah setinggi 25 hingga 30 meter.
Timbalan Ketua Bomba, MP Mistry, memberitahu AFP bahawa penduduk setempat dapat melihat kepala kanak-kanak lelaki yang tertimbus dalam sampah dan berjaya diselamatkan.
“Operasi bertambah rumit kerana anggota penyelamat tidak dapat bernafas di tengah timbunan sampah manakala anjing liar yang berkeliaran turut mengganggu kerja kami.
“Namun, operasi akan diteruskan sehingga kanak-kanak perempuan itu ditemui,” katanya.
Dianggarkan empat juta penduduk India, kebanyakan kanak-kanak, bekerja di sektor kotor dan berbahaya, seperti memungut sampah untuk kitar semula logam dan bahan lain untuk dijual.
Tapak pembuangan sampah yang menerima kira-kira 3,500 tan sampah sehari dari bandar yang mempunyai 5.6 juta penduduk itu menjadi tempat tinggal ratusan keluarga miskin yang bergantung hidup mencari barangan lusuh.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih daripada 41 juta kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun terpaksa bekerja di Asia Selatan.
Sementara itu, pakar berpendapat perintah berkurung yang bertujuan mengekang penularan Covid-19 memburukkan isu tenaga buruh dalam kalangan kanak-kanak. – AFP