
LAWAS: Polis Daerah Lawas terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah apabila menahan seorang lelaki tempatan di Tebingan Awat-Awat, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis selepas bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa yang cuba menahannya.
Menurut beliau, tindakan pantas pasukan polis berjaya menahan suspek sebelum pemeriksaan badan dijalankan ke atasnya.
“Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg sandang yang mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 5.60 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Liong berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati lelaki itu negatif daripada sebarang jenis dadah, manakala semakan rekod lampau turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan terdahulu.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 22 tahun yang tidak bekerja kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut terhadap telefon bimbit milik suspek menemukan aplikasi kiosk perjudian. Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Oleh Adeng Edrus