
KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) terus memperkukuh transformasi digital serta komitmen kelestarian hijau menerusi pelancaran laman web baharu, aplikasi Foresight AI dan inisiatif e-basikal.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, tema ‘Daripada Klik ke Kayuhan: Memacu Agenda Digital dan Hijau SFC’mencerminkan usaha Sarawak mengimbangi kemajuan teknologi dengan pemeliharaan alam sekitar secara bertanggungjawab dan mampan.
“Kerajaan Sarawak komited menjadikan negeri ini berpendapatan tinggi, inklusif dan lestari berteraskan inovasi, tadbir urus baik serta integriti alam sekitar.

“Pelancaran laman web baharu SFC meningkatkan akses maklumat awam, ketelusan serta penglibatan pihak berkepentingan dalam usaha pemuliharaan dan pengurusan tanah secara mampan.
“Foresight AI pula menunjukkan bagaimana kecerdasan buatan boleh dimanfaatkan bagi perlindungan biodiversiti, khususnya dalam pengenalpastian spesies seperti orkid liar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Inisiatif Digital & Hijau SFC di Wisma Lestari di Pejabat Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, integrasi teknologi itu dengan ekosistem digital Sarawak melalui Sains dan Pusat Data Negeri menyokong dasar berasaskan data serta tadbir urus alam sekitar pintar.
Tambah beliau, inisiatif e-basikal selaras dengan aspirasi rendah karbon Sarawak di bawah misi tenaga hijau negeri, termasuk usaha penyahkarbonan sektor pengangkutan dan penggunaan tenaga bersih.

“Usaha ini membuktikan dasar negeri dapat diterjemahkan di peringkat agensi melalui operasi lebih cekap, pengurangan pelepasan karbon dan amalan hijau yang berterusan.
“Saya juga menggalakkan NGO, institusi penyelidikan dan rakan industri untuk bekerjasama dengan SFC dalam memperkasa Foresight AI serta memperluas penggunaannya bagi hasil pemuliharaan yang lebih berimpak,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata pelancaran tersebut menandakan evolusi strategik organisasi dalam mengurus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya, memelihara biodiversiti dan memperkukuh perkhidmatan perhutanan mampan kepada rakyat Sarawak.
“Kejayaan SFC hari ini didorong kepimpinan kementerian serta kerjasama erat semua pihak berkepentingan.
“Kami juga menghargai sumbangan lima unit basikal elektrik (e-basikal) daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang membantu meningkatkan kecekapan operasi dan mobiliti rendah karbon di kawasan perlindungan.
“SFC komited mengintegrasikan teknologi dan kelestarian bagi memastikan hasil pemuliharaan yang berkesan serta nilai jangka panjang kepada masyarakat,” ujarnya.
Program turut meraikan ulang tahun pertama operasi SFC di Wisma Lestari serta pengisytiharan Rizab Alam Semula Jadi Sungai Tapang yang diwartakan pada 18 November 2025 meliputi kawasan seluas 7.75 hektar sebagai makmal hidup bagi penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan biodiversiti bandar.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N12 Kota Sentosa, Wilfred Yap atas usaha menaik taraf sistem perparitan di hadapan Wisma Lestari di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 yang berjaya mengatasi isu banjir kilat di kawasan tersebut.
Oleh Masrin Affirah