
SIBU: Sebanyak RM40,000 subsidi telah disalurkan oleh Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka bagi membantu peniaga di Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua, yang berlangsung dari 18 Februari hingga 17 Mac ini.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi berkata, bazar berkenaan melibatkan 114 peniaga dengan penyediaan 58 khemah, sekali gus memberi ruang perniagaan yang lebih tersusun dan selesa.
Menurut beliau, bantuan subsidi tersebut bertujuan memastikan urusan perniagaan berjalan lancar serta mengurangkan beban kos dan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga.
“Subsidi ini bukan jumlah yang kecil. Ia bertujuan memastikan peniaga dapat berniaga dengan berkesan dalam suasana yang harmoni, terutama sepanjang bulan Ramadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Bersama Peniaga Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua di Dewan Lakis, hari ini.
Dalam pada itu, penganjur turut memperkenalkan pertandingan gerai tercantik bagi memeriahkan suasana bazar dan menarik kehadiran pengunjung.
Hadiah wang tunai ditawarkan iaitu RM800 bagi tempat pertama, RM500 bagi tempat kedua dan RM300 bagi tempat ketiga.
Majlis perasmian Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua dijadualkan berlangsung pada 18 Februari, 3.00 petang, dan akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee.
Turut hadir, Pengerusi Penganjur Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua, Syed Hamzah Wan Hamid Edruce, serta Koordinator Bazar Ramadan, Khalid Zaini. Oleh Tarani Lanting