

MIRI: Aksi berbahaya seorang remaja melakukan ‘wheelie’ membawa padah apabila dia antara dua penunggang yang ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, kelmarin.
Operasi bersepadu yang bermula pada 11.00 malam hingga 5.30 pagi itu melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Miri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi dijalankan di beberapa lokasi panas termasuk Jalan Piasau, Jalan Pujut, Jalan Tanjong, Jalan Miri By Pass dan kawasan Marina.
Menurut beliau, seramai 75 lelaki dan 11 wanita tempatan bersama 72 unit motosikal telah diperiksa sepanjang operasi tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan. Sebanyak 45 saman dikeluarkan oleh pihak trafik manakala 33 notis dikeluarkan oleh JPJ Miri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk lesen kenderaan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor plat ‘fancy’, tiada lesen memandu, ubah suai ekzos serta tiada cermin sisi.
Dalam operasi sama, katanya seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi ‘wheelie’.
“Seorang lagi penunggang berusia 17 tahun turut ditahan di bawah Seksyen 108(3)(f) APJ 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikalnya.
“Selain itu, sebanyak lima motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 bagi tindakan lanjut,”ujarnya.
Mohd Farhan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
“Kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab di jalan raya boleh mengundang tragedi serta mengganggu ketenteraman awam,” tegasnya.
Oleh Liong Chai Ling