
SIBU: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada dunia kewartawanan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai alat sokongan untuk memperkukuh peranan media dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berintegriti kepada masyarakat.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau berkata, walaupun teknologi AI mampu membantu dalam pengumpulan berita, analisis data dan penghasilan kandungan multimedia, pertimbangan manusia, integriti serta tanggungjawab wartawan tetap tidak boleh digantikan.
“Teknologi mungkin mengubah cara berita dihasilkan, tetapi jiwa kewartawanan tetap berteraskan manusia. AI hanyalah satu alat, namun nilai sebenar kewartawanan terletak pada komitmen pengamal media terhadap integriti, profesionalisme dan tanggungjawab sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sini, semalam.
Menurut Lau, media memainkan peranan amat penting dalam memastikan ketelusan, kebertanggungjawaban serta mewujudkan perbincangan awam yang bermaklumat dalam masyarakat.
“Siang dan malam, rakan-rakan media bekerja dengan penuh profesionalisme dan tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat yang tepat serta tepat pada masanya kepada orang ramai,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Lanang.
Seiring dengan kemajuan AI, katanya, industri media turut berdepan cabaran baharu seperti penyebaran berita palsu dan kandungan ‘deepfake’ yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.
“Situasi ini mengingatkan kita bahawa ketepatan dan kredibiliti mesti sentiasa diutamakan. Masa depan media bukanlah manusia menentang AI, tetapi kerjasama antara kedua-duanya demi mempertahankan kebenaran dan kepentingan awam,” tambahnya.
Dalam pada itu, Lau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas sokongan serta sumbangan berterusan mereka dalam menyampaikan suara rakyat.
“Hubungan antara media dan wakil rakyat adalah satu perkongsian yang saling melengkapi dan berteraskan tanggungjawab bersama. Melalui laporan anda, kami dapat memahami dengan lebih jelas kebimbangan rakyat serta menambah baik perkhidmatan dan dasar,” katanya.
Beliau turut menyatakan harapan agar komunikasi dan kerjasama erat antara media dan pemimpin dapat diteruskan demi kepentingan masyarakat pada masa hadapan.
Oleh Tarani Lanting