Pemain Manchester United meraikan kemenangan.
MANCHESTER: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes, memuji impak Michael Carrick yang berjaya mengubah suasana di Old Trafford selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut sejak mengambil alih tugas.
Fernandes turut meledak gol ketika Red Devils menewaskan Tottenham yang beraksi dengan 10 pemain 2-0 malam tadi, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Carrick masih belum tewas dalam tujuh perlawanan sepanjang dua tempohnya sebagai pengurus sementara United.
Bekas pemain tengah itu sebelum hujung minggu ini menegaskan bahawa hierarki United tidak boleh tergesa-gesa membuat keputusan mengenai siapa yang bakal dilantik sebagai pengurus tetap kelab.
Namun, keputusan dan prestasi pasukan sejak pemergian Ruben Amorim bulan lalu semakin mengukuhkan hujah agar bekas pengurus Middlesbrough itu diberikan kontrak sehingga melangkaui penghujung musim ini.
“Carrick datang dengan idea yang betul, memberi tanggungjawab dan kebebasan kepada pemain di atas padang,” kata Fernandes kepada TNT Sports.
“Saya yakin dia akan menjadi pengurus yang hebat dan kini dia membuktikannya. Kami berharap dapat membantunya lebih lagi.
“Semua orang memahami tekanan bermain untuk kelab ini, semua tahu jangkaan yang mengiringinya. Dia tahu apa maknanya untuk menang bersama kelab ini. Ia menambah sesuatu yang istimewa kepada pasukan.”
Kemenangan itu meletakkan United hanya dua mata di belakang Aston Villa di tangga ketiga dan membuka jurang selesa berbanding pasukan pencabar bagi merebut tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kedudukan lima teratas dijangka sudah memadai untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan susulan prestasi cemerlang kelab-kelab England dalam kejohanan Eropah musim ini.
United kini lima mata di hadapan Liverpool di tangga keenam, yang akan melayan kunjungan pendahulu liga, Manchester City, pada Ahad. — AFP