
SIMANGGANG: Seramai 300 penduduk kurang berkemampuan telah menerima sumbangan bakul makanan menerusi Majlis Sejambak Kasih yang dianjurkan oleh Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor Sri Aman, hari ini.
Setiausaha Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor, Tay Cho Seng berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif tahunan pertubuhan dalam usaha membantu golongan memerlukan, khususnya menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.
Menurutnya, penganjuran program itu bertujuan meringankan beban penerima yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah, warga emas dan individu kurang bernasib baik agar mereka turut dapat merasai kemeriahan perayaan.
“Dengan bantuan seperti ini, sekurang-kurangnya mereka yang kurang bernasib baik tidak dilupakan, kerana setiap perayaan yang menggembirakan harus mengingati golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Sejambak Kasih juga memperlihatkan komitmen pertubuhan dalam menyemai nilai keprihatinan dan semangat saling membantu dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di daerah itu.
Tambah Tay, penganjuran program berkenaan adalah selaras dengan prinsip serta piagam pertubuhan yang menekankan nilai-nilai murni, kebajikan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program berkenaan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Tidak dilupakan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada wakil rakyat tempatan yang sentiasa memberikan sokongan berterusan serta meluluskan peruntukan dana setiap tahun bagi memastikan kelangsungan program kebajikan tersebut.

Dalam pada itu, Tay turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman atas kerjasama erat dan sokongan berterusan yang diberikan kepada pertubuhan sepanjang penganjuran program berkenaan.
Beliau berkata, pihak pertubuhan komited memastikan setiap bantuan disalurkan secara adil dan berkesan kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan.
“Oleh itu, senarai penerima bantuan akan diteliti dan dinilai semula dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan golongan sasar terus terpelihara,” katanya.
Tay mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang menyambut perayaan tersebut dan berharap ia membawa kebahagiaan, kesejahteraan serta kemakmuran kepada seluruh masyarakat.
Majlis itu turut dihadiri wakil Pegawai Kebajikan dan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Roselind Usin; Pengerusi Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor, Temenggong Kueh Aik Seng; Ketua Biro Wanita pertubuhan, Alice Wee; Ketua Biro Pemuda, Ngu Sze Lee; serta Kapitan Kiew See Ted dan Kapitan Lai Joon Phin.
Oleh Adi Safarman