
MIRI: Tindakan seorang wanita tempatan mencuri sebuah mesin pencuci tekanan membawa padah apabila dia diberkas polis dalam satu operasi di sini, semalam.
Suspek berusia 41 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kecurian satu unit mesin pencuci tekanan di sebuah pasar raya di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 2 Februari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

“Barang yang dicuri dianggarkan bernilai RM250 dan hasil siasatan lanjut, pihak polis berjaya menemui semula mesin pencuci tekanan itu di rumah suspek,” katanya menerusi hantaran di Facebook Polis Daerah Miri malam tadi.
Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan siasatan masih diteruskan.
Mohd Farhan turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa meningkatkan tahap keselamatan harta benda, khususnya di premis perniagaan.
“Pastikan kedai atau premis dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan segera laporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis bagi membantu mencegah kejadian jenayah,” katanya.
Oleh Liong Chai ling