
SIBU: Media arus perdana perlu memainkan peranan penting dalam memimpin masyarakat ke arah penggunaan media sosial secara beretika dan bertanggungjawab, sejajar dengan perkembangan pesat platform digital masa kini.
Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling berkata media sosial seharusnya dimanfaatkan sebagai medium untuk menyebarkan kebaikan, maklumat membina serta berita yang bermanfaat, bukannya disalahgunakan untuk membuli atau menjatuhkan maruah individu lain.
Menurut beliau, isu penyalahgunaan media sosial semakin membimbangkan apabila platform berkenaan bukan lagi sekadar saluran komunikasi, sebaliknya dijadikan ‘senjata’ oleh segelintir pihak untuk menyerang, mengaibkan dan membalas dendam terhadap individu yang tidak disukai.
“Saya ingin menyentuh satu isu yang semakin membimbangkan, iaitu penyalahgunaan media sosial. Hari ini, media sosial telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menyerang dan menjatuhkan maruah orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Media sempena Sambutan Tahun Baharu Cina di sini, semalam.
Ling berkata peranan media amat signifikan khususnya dalam era digital apabila media sosial berkembang dengan begitu pantas dan mempunyai pengaruh besar dalam membentuk persepsi serta pemikiran masyarakat.
Katanya, media bukan sahaja berfungsi sebagai saluran penyampaian berita, malah mempunyai tanggungjawab sosial untuk mendidik masyarakat agar lebih berhemah dalam berkongsi dan menerima maklumat.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyerang atau memburukkan individu lain kerana kesan perbuatan tersebut bukan sahaja bersifat sementara, malah boleh meninggalkan trauma berpanjangan kepada mangsa.
“Kebahagiaan yang diperoleh daripada tindakan sedemikian hanya sementara, sedangkan kesannya terhadap mangsa boleh dirasai sepanjang hayat,” katanya.
Oleh Tarani Lanting