
KUALA LUMPUR: Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan antara AS$4,800 hingga AS$4,900 seaun minggu hadapan, kata seorang pakar ekonomi.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid mengaitkan pembetulan pasaran baru-baru ini telah menyebabkan harga emas merosot daripada paras tertinggi sepanjang masa iaitu AS$5,500.
“Nampaknya harga emas cuba untuk mewujudkan paras sokongan baharu yang mencerminkan keadaan penawaran dan permintaan semasa,” katanya kepada Bernama.
Pada Rabu lepas, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata logam berharga itu terus disokong oleh dolar US yang lemah serta sentimen risiko global yang bertambah baik, apabila pemburuan murah muncul berikutan jualan besar-besaran yang tinggi pada minggu sebelum ini.
Dari minggu ke minggu, Februari 2026 susut kepada AS$4,877.9 setiap auns troy daripada AS$5,062.60 setiap auns troy dan Mac 2026 menurun kepada AS$4,895.4 setiap auns troy daripada AS$5,080.90 setiap auns troy.
April 2026 merosot kepada AS$4,912.20 setiap auns troy berbanding AS$5,097.70 setiap auns troy sebelumnya.
Kontrak Jun dan Ogos 2026 juga ditutup lebih rendah pada AS$4,912.2 setiap auns troy daripada AS$5,097.70 setiap auns troy.
Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 149 lot berbanding 1,705 lot yang disaksikan semasa minggu sebelum ini, manakala kepentingan terbuka susut kepada 151 kontrak daripada 91 kontrak.
Berdasarkan penetapan tengah hari, 5 Februari 2026 di London Bullion Market Association, harga emas fizikal berada pada AS$4,847.25 setiap auns troy. – Bernama