

MIRI: Hasil pemantauan Pasukan Hazmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kehadiran gas mudah terbakar di tapak pembinaan bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan di sini, semalam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, bacaan Had Bawah Letupan (LEL) yang direkodkan berhampiran lubang gerudi melebihi 30 peratus, sekali gus menunjukkan tahap risiko kebakaran yang tinggi.
“Pemantauan mendapati bacaan Had Bawah Letupan berada pada paras normal apabila lubang gerudi ditutup, namun meningkat dengan ketara apabila lubang tersebut dibuka.
“Keadaan ini boleh mendatangkan risiko keselamatan sekiranya berlaku sebarang sumber pencucuhan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Terdahulu, kejadian itu mula disedari ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan apabila pekerja mengesan gas keluar dari lubang cerucuk yang ditanam pada kedalaman dianggarkan melebihi 33 meter.
Susulan laporan diterima pada 10.15 pagi, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong digerakkan ke lokasi dan tiba pada 10.24 pagi bagi menjalankan pemeriksaan awal serta mengawal keselamatan kawasan.
Bagi tujuan pengesahan lanjut, Pasukan Hazmat dari BBP Bintulu telah digerakkan ke lokasi pada sebelah petang untuk menjalankan pemantauan terperinci menggunakan peralatan khas pengesanan gas.
“Hasil pemantauan mengesahkan kehadiran gas dipercayai gas asli seperti metana, propana dan butana yang bersifat mudah terbakar,” katanya.
Sehubungan itu, semua kerja pembinaan di kawasan terlibat telah diarahkan dihentikan sementara dan lubang gerudi disyorkan untuk ditutup atau dikambus sepenuhnya sebelum kawasan dibuka kepada orang awam dan warga sekolah.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut dan keadaan persekitaran didapati kering serta tidak berangin sepanjang operasi dijalankan.
Beberapa agensi turut berada di lokasi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Residen Bahagian Miri, Pejabat Daerah Miri, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Petros serta pihak kontraktor bagi menyelaras tindakan susulan.
JBPM turut mendapatkan khidmat nasihat dan pengesahan daripada Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kimia Malaysia serta JAS bagi memastikan keselamatan di kawasan berkenaan.
Oleh Liong Chai Ling