
SIMANGGANG: Kem tinju Zon Barat tetap berpuas hati dengan pencapaian atlet mereka sepanjang temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026, meskipun hanya meraih satu pingat emas, lima pingat perak dan enam pingat gangsa, selepas temasya itu melabuhkan tirainya petang tadi.
Ketua Jurulatih Tinju Zon Barat, Kamaruddin Mohamad menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang membanggakan memandangkan semua petinju berjaya memberikan saingan sengit dan tidak pulang dengan tangan kosong.
Menurut beliau, sasaran awal untuk meraih tiga pingat emas tidak tercapai sepenuhnya, namun komitmen tinggi yang ditampilkan oleh barisan petinju sepanjang kejohanan wajar diberikan pujian.

“Walaupun sasaran tiga emas tidak dipenuhi, saya tetap berbangga dengan disiplin, semangat juang dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua petinju kita sepanjang SUKSAR IV 2026,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Kamaruddin berkata, kejayaan meraih satu pingat emas itu menjadi pemangkin semangat buat pasukan untuk terus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pada kejohanan akan datang.
Beliau turut memaklumkan berita gembira kem tinju Zon Barat, apabila empat orang petinju mereka disenaraikan ke pemilihan akhir bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Empat petinju yang terpilih ialah Muhammad Irfan Mohamad Ishak bagi kategori 57 kilogram, Mohd Zulkarnain Iswandy (54kg), Felhzcha Emelda Ejin (48kg) dan Eurinia Jackie Joachim (57kg).
Menurutnya, pemilihan tersebut membuktikan kualiti latihan serta potensi atlet Zon Barat yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi dan mewakili negeri Sarawak.
Beliau berharap keempat-empat petinju itu dapat melepasi saringan akhir dan seterusnya membawa cabaran Sarawak pada SUKMA yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan di Selangor.
“Kami akan terus memberikan latihan intensif dan sokongan sepenuhnya agar mereka benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mengharumkan nama Sarawak di pentas SUKMA,” katanya yang dibantu oleh Joe Engkujat dan Nur Azreen Abdullah sebagai penolong jurulatih.
Oleh Adi Safarman