
BAU: Lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sendiri di Bau mengalami kerugian sebanyak RM26,897 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman wang dalam talian tanpa lesen awal tahun ini.
Ketua Polis Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, kejadian berlaku di Selalang Condong, Bau dan kini disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Peminjam Wang 1951.
“Dalam laporan yang dibuat, mangsa memaklumkan bahawa pada awal Januari 2026, beliau menemui sebuah laman web bernama ‘Growthlinehub’ yang menawarkan peluang pekerjaan dalam talian.
“Selepas mendaftar, pengadu dihubungi oleh seorang ejen dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp di mana beliau diajar cara menjana wang dengan membuat pesanan produk,” jelas beliau.
Haide berkata, mangsa pada awalnya menerima RM30 selepas menyiapkan tugasan dan menyerahkan bukti pesanan, yang mendorong beliau untuk meneruskan aktiviti itu. Beliau kemudiannya membuat empat pesanan tambahan sebelum diarahkan untuk membayar RM5,000 bagi pesanan kelima.
“Disebabkan mangsa tidak mempunyai dana mencukupi, beliau mencari pinjaman peribadi secara dalam talian. Antara 17 Januari hingga 1 Februari 2026, beliau memohon 18 pinjaman peribadi dalam talian berjumlah RM69,600,” kata beliau.
Beliau menambah, daripada jumlah tersebut, mangsa hanya menerima RM3,680 tetapi telah membuat pembayaran berjumlah RM30,577 ke 13 akaun bank berbeza yang diberikan oleh suspek.
“Walaupun telah membayar lebih daripada jumlah yang diterima, mangsa terus diganggu dan ditekan untuk membuat pembayaran tambahan, sehingga beliau membuat laporan polis,” katanya.
Kes ini melibatkan beberapa akaun bank yang didaftarkan atas nama individu berbeza, manakala nombor telefon yang dipercayai milik suspek menggunakan nama Maggie turut dikenal pasti.
Semakan polis mendapati tiada rekod sebelumnya bagi nombor telefon terbabit, manakala beberapa akaun bank ada rekod sebelum ini.
Haide berkata, pengadu tidak mengetahui mengenai peranan Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional dan telah dinasihati untuk menghubungi talian 997 bagi membuat laporan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan tawaran pekerjaan dalam talian dan skim pinjaman wang tanpa lesen, terutamanya yang ditemui melalui carian internet, serta memastikan kesahihan sebarang tawaran kewangan sebelum membuat pembayaran.
Oleh Connie