
KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching hari ini membenarkan lima anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk memohon semakan kehakiman bagi mencabar penalti berjumlah RM120 juta yang dikenakan di bawah undang-undang pengedaran gas Sarawak.
Pesuruhjaya Kehakiman, Dean Wayne Daly memutuskan bahawa para pemohon telah mengemukakan kes yang boleh dihujahkan dan isu-isu berkenaan wajar didengar dalam perbicaraan substantif.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan penangguhan terhadap penguatkuasaan penalti kewangan tersebut.
Para pemohon Petronas Carigali Sdn Bhd, Malaysia LNG Sdn Bhd, Malaysia LNG Dua Sdn Bhd, Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd dan Petronas LNG 9 Sdn Bhd memohon supaya notis penalti kewangan yang dikeluarkan di bawah Seksyen 7 Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016 dibatalkan.
Mereka dikenakan penalti kerana didakwa gagal memohon lesen untuk beroperasi di Sarawak, dengan lapan notis penalti berjumlah RM15 juta setiap satu dikeluarkan terhadap mereka, menjadikan keseluruhan RM120 juta.
Pasukan peguam pemohon terdiri daripada Khoo Guan Huat dan Alex Ngu Sze Shae, manakala pihak responden diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Seri JC Fong serta Peguam Kanan Negeri Mohd Adzrul Adzlan dari Jabatan Peguam Besar Negeri.
Mahkamah menetapkan 2 Mac bagi pengurusan kes.