
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan pengagihan dividen interim Amanah Saham Sarawak (ASSAR) sebanyak 3 sen seunit bagi Tahun Kewangan 2026, melibatkan jumlah agihan RM15.24 juta yang akan memanfaatkan 57,878 pemegang unit di seluruh Sarawak.
Pengumuman itu dibuat sempena Majlis Pengumuman Dividen Interim ASSAR bagi Tahun Kewangan Berakhir 30 Jun 2026 yang berlangsung di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, petang ini.
Premier Sarawak berkata, pengagihan kali kelima pasca penstrukturan semula ASSAR itu dikira berdasarkan baki pegangan unit pemegang pada 31 Disember 2025, sekali gus mencerminkan prestasi dana yang kekal stabil dan berdaya tahan dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
Menurut beliau, ASSAR telah berjaya melaksanakan pelan penstrukturan semula secara menyeluruh pada penghujung 2022 bagi mengimbangi risiko dana, memelihara nilai pelaburan pemegang unit serta memastikan penjanaan pendapatan yang mampan untuk jangka panjang.
“Alhamdulillah, hasil penstrukturan tersebut, ASSAR kini mampu mengagihkan dividen secara konsisten setiap enam bulan sejak Januari 2024. Secara kumulatif, jumlah agihan dividen pasca penstrukturan telah mencecah RM56.85 juta,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa walaupun Nilai Aset Bersih (NAB) ASSAR mengalami turun naik selari dengan keadaan pasaran, tahap keruapan kekal terkawal dengan purata NAB sekitar RM1.11 seunit bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Mengulas prestasi pasaran, Abang Johari berkata pasaran modal Malaysia pada separuh kedua 2025 menunjukkan daya tahan meskipun berdepan cabaran luaran dan aliran keluar dana asing, manakala pasaran bon kekal stabil disokong prospek ekonomi negara yang teguh serta inflasi yang terkawal.
Beliau berkata keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) telah membantu menstabilkan pasaran, di samping kadar hasil yang kompetitif berbanding pasaran serantau terus menarik minat pelabur tempatan dan asing.
Dalam konteks itu, katanya, prestasi ASSAR kekal kukuh hasil strategi peruntukan aset yang berhemah dan pengurusan risiko yang proaktif. Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, ASSAR merekodkan pendapatan kasar RM19.87 juta.
Daripada jumlah tersebut, 42 peratus atau RM8.34 juta merupakan pendapatan faedah daripada sekuriti berpendapatan tetap, 36 peratus atau RM7.18 juta keuntungan daripada penjualan ekuiti, 14 peratus atau RM2.83 juta pendapatan dividen, manakala selebihnya 8 peratus atau RM1.52 juta terdiri daripada pendapatan instrumen pasaran wang dan keuntungan penjualan sekuriti berpendapatan tetap.

Selepas ditolak perbelanjaan sebanyak RM3.68 juta, pendapatan bersih ASSAR bagi tempoh berkenaan adalah RM16.19 juta. Dengan mengambil kira lebihan pendapatan RM12 juta daripada tahun kewangan sebelumnya, jumlah pendapatan boleh agih ASSAR setakat 31 Disember 2025 ialah RM28.19 juta.
Abang Johari berkata, selepas pengagihan dividen interim berjumlah RM15.24 juta itu, ASSAR masih mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM12.95 juta yang disimpan sebagai rizab bagi menampung pendapatan dana pada masa hadapan.
Beliau berharap kadar pengagihan dividen yang kompetitif itu dapat terus menggalakkan minat melabur dalam kalangan masyarakat Bumiputera Sarawak, di samping menegaskan bahawa ASSAR kekal sebagai instrumen pelaburan yang selamat dan berisiko rendah dengan jaminan harga minimum RM1.00 seunit.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihak pengurusan ASSAR turut mempergiat inisiatif mendekatkan perkhidmatan kepada komuniti melalui kerjasama dengan Service Sarawak bagi membuka kaunter ASSAR di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Sibu dan Miri, serta bakal diperluaskan ke Sarikei.
Selain itu, ASSAR juga memanfaatkan rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (mySRBN) dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi melaksanakan perkhidmatan pejabat bergerak ke kawasan pinggir dan luar bandar, dengan kerjasama pejabat daerah serta ketua masyarakat dan ketua kampung.
“Usaha seperti ini perlu diteruskan dan diperluaskan agar perkhidmatan pelaburan di Sarawak menjadi lebih inklusif, mesra rakyat dan efisien, khususnya untuk masyarakat luar bandar,” katanya.
Abang Johari merakamkan tahniah kepada barisan pengurusan dan seluruh warga kerja Amanah Saham Sarawak atas pencapaian tersebut serta menyeru rakyat Sarawak agar terus menyokong produk pelaburan ASSAR demi membina masa depan kewangan yang lebih mampan untuk negeri ini.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pengerusi Yayasan Tun Jugah , Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah, Pengerusi Kumpulan Syarikat Permodalan ASSAR Dato Sri Wahab Dolah dan dif kenamaan lain.