Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Permohonan Paul Yong untuk semak sabitan, hukuman kes rogol ditolak
  • MAHKAMAH

Permohonan Paul Yong untuk semak sabitan, hukuman kes rogol ditolak

Utusan Sarawak 8 hours ago
Foto fail

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lapan tahun yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan merogol pembantu rumah, tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim, yang diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah, dalam keputusan sebulat suara berkata permohonan itu gagal memenuhi ambang tinggi yang ditetapkan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi membolehkan semakan dimulakan.

“Kami berpendapat bahawa pihak-pihak telah diberi peluang sepenuhnya. Tiada pelanggaran keadilan asasi, justeru kami menolak permohonan ini,” kata Hashim.

Dua lagi hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang ialah Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Yong, 55, kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya pada 1 Oktober 2025.

Terdahulu, peguam Yong, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah bahawa Yong sepatutnya diberi kebenaran untuk semakan kerana pemohon telah mengalami ketidakadilan yang serius kerana haknya untuk didengar telah dinafikan secara tidak sengaja oleh panel terdahulu.

Beliau berkata pelanggaran keadilan asasi berlaku apabila hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan kenyataan Yong di bawah Seksyen 112 sebagai bahan bukti, iaitu kenyataan yang diberikannya kepada polis semasa siasatan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Yusaini Amer Abdul Karim berkata fakta dan undang-undang yang dibangkitkan oleh pemohon telah dikemukakan dan dihujahkan secara terperinci semasa peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di hadapan panel terdahulu.

“Tidak wajar untuk persoalan fakta dan undang-undang dihujahkan semula pada peringkat ini. Sekiranya begitu keadaannya, maka tidak adalah kemuktamadan dalam prosiding,” kata Yusaini yang mengendalikan kes bersama dengan TPR Mohd Amril Johari.

Pada Julai 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Yong, namun pada Mac 2024, Mahkamah Rayuan mengurangkan hukuman terbabit kepada lapan tahun, tetapi mengekalkan dua sebatan itu.

Mahkamah Tinggi mendapati beliau bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di kediamannya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan mangsa ialah saksi yang boleh dipercayai dan meyakinkan.

Sehubungan dengan itu, panel itu memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam menerima keterangan mangsa sebagai asas sabitan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Isa Samad ditetapkan 10 Februari ini
Next: Mahkamah Persekutuan putuskan perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ selaras perlembagaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.