

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi JPJ Kuching semalam melaksanakan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Gempur Kenderaan Perdagangan di sekitar bandar raya Kuching serta Kota Samarahan bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Operasi bersepadu itu memfokuskan pengesanan pemandu warga asing yang memandu tanpa kelayakan sah serta pemantauan ketat ke atas kenderaan perdagangan bagi mengekang pelanggaran peraturan jalan raya yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
Hasil pemeriksaan, JPJ Kuching menyita sebuah lori sampah yang didapati dipandu oleh seorang warga asing tanpa lesen memandu dan lesen vokasional yang sah.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan berkenaan telah tamat tempoh kuat kuasa.
Kesalahan berkenaan merupakan pelanggaran serius di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan tindakan tegas telah diambil terhadap pihak terlibat selaras dengan penguatkuasaan berterusan JPJ.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak menegaskan agar semua pemilik serta pengusaha syarikat kenderaan perdagangan sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan sah dari segi dokumentasi, selain hanya membenarkan pemandu yang berkelayakan dan berlesen mengendalikan kenderaan perdagangan.
JPJ Sarawak menegaskan, kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi demi keselamatan pengguna jalan raya dan kepentingan awam.
Oleh Shikin Mahmud