Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak gesa pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, bincang isu industri lori
  • SEMASA

Sarawak gesa pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, bincang isu industri lori

Utusan Sarawak 9 hours ago
MENTERI Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin mempengerusikan Sesi Libat Urus Pemegang Taruh Pengangkutan Lori yang menghimpunkan agensi kerajaan dan wakil industri bagi membincangkan isu peraturan serta cabaran operasi sektor kenderaan komersial di Sarawak. Foto KPS

KUCHING: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata beliau akan menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, bagi mengetengahkan cabaran serta realiti operasi yang dihadapi pengusaha lori di Sarawak.

Beliau juga akan memohon satu pertemuan bagi membincangkan secara terus isu-isu mendesak yang melibatkan industri tersebut.

Menurutnya, langkah itu perlu bagi memastikan keunikan geografi serta keperluan logistik Sarawak diambil kira secara sewajarnya dalam pelaksanaan dasar pengangkutan Persekutuan, khususnya yang melibatkan kenderaan komersial. Beliau berkata, industri lori di Sarawak kini berdepan tekanan pematuhan yang semakin meningkat dan memerlukan perhatian segera serta penyelesaian yang praktikal.

Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas serta menyelaras maklum balas daripada pihak industri, Kim Shin semalam mempengerusikan Sesi Libat Urus Pemegang Taruh Pengangkutan Lori yang menghimpunkan agensi kerajaan dan wakil industri untuk membincangkan isu peraturan dan operasi utama yang menjejaskan sektor kenderaan komersial di negeri ini.

MENTERI Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin mempengerusikan Sesi Libat Urus Pemegang Taruh Pengangkutan Lori yang menghimpunkan agensi kerajaan dan wakil industri bagi membincangkan isu peraturan serta cabaran operasi sektor kenderaan komersial di Sarawak. Foto KPS

Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk pelaksanaan berperingkat Peranti Had Laju (SLD) ke atas kenderaan komersial, pemasangan mandatori Sistem Kedudukan Global (GPS), serta isu penguatkuasaan berkaitan Perintah Sekatan Berat (WRO).

Dalam sesi tersebut, pengusaha lori menyuarakan kebimbangan apabila hanya empat ejen pemasangan SLD yang dibenarkan beroperasi di Sarawak ketika ini, yang dilihat tidak mencukupi untuk menampung jumlah lori komersial yang besar di seluruh negeri. Memandangkan keluasan geografi Sarawak, mereka bimbang pemasangan tidak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan.

Mereka turut memberi amaran bahawa jumlah ejen yang terhad boleh membawa kepada pilihan yang terbatas serta amalan monopoli tidak sihat, sekali gus meningkatkan kos pematuhan dan cabaran operasi industri.

Beliau memahami kebimbangan tersebut dan bersetuju Sarawak memerlukan pendekatan pelaksanaan yang lebih fleksibel serta praktikal. Katanya, bilangan ejen SLD wajar ditambah dengan pengagihan lebih meluas merangkumi bahagian-bahagian di Sarawak bagi melancarkan pelaksanaan serta memastikan persaingan yang adil.

Beliau menambah, usaha mengatur pertemuan dengan Anthony Loke telah dimulakan sejak bulan lalu, namun kekangan jadual setakat ini menghalang pertemuan tersebut daripada diadakan.

Sesi berkenaan turut menyentuh isu had muatan lori dan kapasiti infrastruktur jalan raya.

Beliau mengalu-alukan penyelarasan berterusan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak mengenai pengelasan jalan, termasuk cadangan melibatkan jalan R5 serta penaiktarafan atau pengelasan semula di bawah Senarai 1, bagi menyesuaikan piawaian infrastruktur dengan operasi kenderaan komersial dan keperluan penguatkuasaan.

Sesi libat urus itu dihadiri wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, PUSPAKOM Sarawak Sdn. Bhd., Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta persatuan industri termasuk Persekutuan Persatuan Lori Sarawak, Persatuan Pengangkutan Lori Sarawak, Persatuan Agensi Penghantaran Sarawak dan Persatuan Pembaik Pulih Automobil Sibu.

Kementerian Pengangkutan menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan jalan raya terus dipelihara, di samping menjamin pelaksanaan dasar yang adil, praktikal dan mencerminkan realiti sebenar di Sarawak melalui libat urus berterusan bersama pihak Persekutuan dan pemegang taruh industri.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Eik dan tetamu kehormat lain.

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: AirBorneo rancang pengembangan, lancar operasi jet separuh kedua 2026
Next: MetMalaysia keluarkan nasihat ribut tropika Penha

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.