
KUCHING: Sebuah warung di tepi jalan Kampung Haji Mataim menjadi tumpuan apabila seorang pemuda bernama Andeeka, dilihat sibuk menyediakan doh cakoi , manakala rakannya menggoreng cakoi di sebelahnya.
Lebih menarik, Andeeka turut berinteraksi secara langsung di TikTok sambil menguli, menggiling dan memotong adunan cakoi, menarik perhatian ramai penonton dalam talian.
Menurut Andeeka, sebelum ini dia mula berniaga cakoi di hadapan Teko Teh & Kopi di Kampung Bandarshah, Ajibah Abol pada 2012 sebelum mengambil keputusan untuk berhenti buat sementara waktu.

Tahun ini, beliau kembali berniaga cakoi dan donut selepas bertemu rakan yang berniaga burger pada waktu malam di warung Jalan Haji Mataim.
Jelas Andeeka, dia memulakan operasi menjual cakoi dan donut setiap Isnin hingga Khamis bermula 2.00 hingga 6.00 petang, kecuali Jumaat.
Dalam sehari, beliau mampu menggoreng antara lapan hingga 10 kilogram cakoi, manakala pada hujung minggu jumlah itu meningkat sehingga 15 kilogram.

Antara menu yang mendapat sambutan ialah cakoi ori yang dijual pada harga RM5 bagi tujuh biji, manakala cakoi topping pula RM6 untuk tiga biji.
Bagi penggemar donat, donat ori ditawarkan pada harga RM3 untuk empat biji, sementara donat bertopping dijual RM2 sebiji atau RM5 untuk tiga biji.
Selain harga yang mesra pelanggan, gerai ini turut menyediakan pelbagai pilihan topping seperti strawberi, coklat dan pandan bagi menambah kelazatan serta memenuhi cita rasa pelanggan.

Menjelang Ramadan, Andeeka tetap beroperasi tetapi menukar menu kepada bubur pedas dan roti john, sementara jualan cakoi dihentikan buat sementara.
“Bulan puasa saya berhenti dahulu buat cakoi. Saya akan menjual bubur pedas dan roti john. Saya masak bubur pedas terlebih dahulu di rumah, selepas masak baharu dibawa ke warung. Jika masak di warung, banyak kerja tambahan terutama memotong bahan-bahan yang agak rumit,” jelasnya.

Bubur pedas yang ditawarkan Andeeka dijual pada harga RM7 untuk daging, manakala ayam dan karapen masing-masing RM6.
Menerusi semangat dan dedikasi, Andeeka membuktikan bahawa tradisi makanan kampung seperti cakoi dan bubur pedas masih relevan dan diminati ramai, sambil memanfaatkan platform digital seperti TikTok untuk menarik pelanggan baharu.